Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan memaklumkan bekalan pas sempadan yang sedia ada kini hanya mampu bertahan untuk keperluan beberapa hari sahaja.

Malah menurut Pengarah JIM negeri Azhar Abd Hamid cawangan pejabat JIM di kawasan sempadan juga sudah kehabisan bekalan pas dan ia hanya boleh didapati di pejabat imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kota Bharu sahaja.

"Sebelum ini memang pas sempadan sudah habis, namun saya menggunakan peruntukan khas sebanyak RM50,000 bagi membuat pembelian 10,200 pas sempadan baru-baru ini.

"Bagi di pejabat imigresen lain (Jeli dan Rantau Panjang) pas sempadan yang dibekalkan sudah habis dan kini hanya ada (bekalan) di UTC Kota Bharu.

"Kita percaya stok yang ada pun hanya mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada ibu pejabat di Putrajaya,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Terdahulu media melaporkan pas sempadan di negeri itu mengalami kekurangan bekalan sejak Mei lalu.

Sementara itu Azhar turut mengakui pas sempadan bagi negeri yang bersempadan dengan Thailand adalah penting buat mereka dan dianggar sebanyak 400 hingga 500 unit diperlukan setiap hari.

"Anggaran penduduk yang memohon untuk membuat pas sempadan antara 400 hingga 500 unit sehari.

"Kita percaya pihak atasan kini dalam proses untuk menyelesaikan masalah bekalan pas sempadan dan berharap orang ramai dapat bersabar," katanya.