Anwar digesa beri peranan semula kepada orang kuat PKR
Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu membawa masuk semula pemimpin yang telah meninggalkan parti itu bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang jika tidak mahu peristiwa 2004 berulang di mana ia hanya memenangi satu kerusi Parlimen Permatang Pauh melalui presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu membawa masuk semula pemimpin yang telah meninggalkan parti itu bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang jika tidak mahu peristiwa 2004 berulang di mana ia hanya memenangi satu kerusi Parlimen Permatang Pauh melalui presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Pemimpin akar umbi PKR mahu `pemimpin besar' Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan semula dan memberi peranan semula kepada bekas orang kuat parti seperti Ezam Mohd Noor, Roslan Kassim dan Abdul Rahman Othman jika mahu mengembalikan semula kegemilangan 1999.
Ezam, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMk) PKR melepaskan jawatan pada akhir tahun lalu, Roslan yang pernah menjadi ketua penerangan meninggalkan parti dan kembali ke pangkuan Umno sebelum pilihanraya umum lalu, manakala bekas bendahari agung Abdul Rahman kini hanya menjadi ahli biasa.
Abdul Rahman yang dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PKR dalam kongres nasional parti itu di Seremban Sabtu lalu, menarik diri pada saat-saat akhir selepas Anwar turut menarik diri, bagi memberi laluan Wan Azizah mengekalkan jawatan tersebut.
Beberapa perwakilan kongres nasional PKR yang ditemui di Seremban semalam berkata, pucuk pimpinan yang ada dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) belum mencapai kualiti seperti tahun 1999.
Perwakilan Kedah, Zamil Ibrahim berkata, ramai MPT yang baru dilantik tidak mempunyai pengalaman berdepan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum.
"Saya yang sudah sembilan tahun bersama PKR, tidak yakin parti mempunyai kekuatan untuk menghadapi pilihanraya umum kali ini. Ramai ahli yang tidak tahu mengenai MPT baru.
"Sedangkan pilihanraya kali ini amat penting kerana ia menentukan hidup mati bukan sahaja kepada PKR tetapi juga kepada Anwar sendiri kerana gelombang sokongan rakyat sudah terlalu banyak surut," katanya ketika diminta mengulas kemampuan parti dalam menghadapi pilihanraya umum kaan datang.
Rombakan baru
Semalam Anwar mengumumkan beberapa rombakan dalam kepimpinan parti termasuk melantik bekas pemangku ketua AMK, Saifuddin Nasution Ismail sebagai pengarah strategi PKR sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum.
Tan Sri Khalid Ibrahim yang sebelum ini merupakan bendahari agung telah dilantik sebagai setiausaha agung yang baru, menggantikan Datuk Kamarul Baharin Abas. Jawatan bendahari agung diisi oleh peguam William Leong yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa pemilihan parti (JKP).
Pengarah pilihanraya PKR, Azmin Ali kini dibantu oleh bekas ketua wanita Fuziah Salleh sebagai timbalan pengarah.
Zamil yang merupakan bekas Exco AMK pusat berkata, amat menyedihkan apabila seorang demi seorang pemimpin keluar parti walaupun mereka merupakan kawan baik Anwar.
"Apa yang berlaku kepada Datuk S Nallakarupan? Baru beberapa bulan masuk PKR, beliau sudah keluar dan beliau juga merupakan kawan baik Anwar," katanya.
Seorang lagi perwakilan, Abdul Manaf Awang dari Pahang berkata, Anwar sudah berkali-kali mengatakan parti bersedia menghadapi pilihanraya tetapi apa yang berlaku di peringkat bahagian amat berlainan sama sekali.
Persiapan pilihanraya
Katanya, banyak bahagian yang kini amat sukar untuk mengadakan aktiviti kerana ketiadaan ahli dan keadaan ini menyukarkan persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum.
Beliau berkata, apa yang perlu dibuat sekarang ialah bagaimana untuk menarik semula sokongan orang ramai terhadap PKR seperti tahun 1999.
"Pandangan Anwar dengan pemimpin di bahagian dan kampung berbeza sama sekali. Anwar yakin untuk menumpaskan Barisan Nasional (BN) tetapi orang di bawah menganggap sebaliknya.
"Parti kita semakin lemah kerana salah kita sendiri. Ramai pemimpin atas yang tidak buat kerja, malah mesyuarat pun tidak dating, apa lagi turun ke bahagian.
"Kita boleh bercakap parti kita buat tetapi tidak ada bukti. Mungkini pilihanraya akan datang ini merupakan peluang terakhir untuk kami semua," katanya.
Beberapa pemimpin utama PKR termasuk Anwar meramalkan pilihanraya umum akan diadakan seawal Ogos ini. Bagaimanapun, Anwar tidak boleh bertanding sehingga Aprill tahun depan kerana terikat dengan hukuman Pendaftar Pertubuhan (ROS).

