Azam serah pada pasukan penyiasat siasat bukti baru kes Zahid
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan penyiasat bagi menyiasat bukti baru membabitkan kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, dia juga tidak pasti sejauh mana perkembangan siasatan berkenaan.
“Saya tidak pasti mengenai perkara itu (siasatan lanjut), saya serahkan kepada pasukan penyiasat,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di Sepang, hari ini.
Pada Isnin lalu, Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas kesemua 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar bagi menghentikan perbicaraan.
Sementara itu, Azam juga enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang menyifatkan keputusan terhadap Ahmad Zahid sesuatu yang ‘memalukan’.
“Apa yang dicakap di mahkamah dan diserahkan oleh pendakwaan, itulah keputusannya,” katanya.
Latheefa sebelum ini menggesa pihak kerajaan berhenti mengatakan bahawa keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid sebagai keputusan mahkamah.
Sebaliknya, kata Latheefa, mahkamah tidak mempunyai pilihan kerana terikat mengikut perlembagaan untuk memenuhi permintaan pendakwa raya.
Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan semalam menegaskan permohonan DNAA terhadap Ahmad Zahid adalah berdasarkan alasan yang telah dikemukakan dan diterima mahkamah.
Jabatan itu memaklumkan semasa membuat keputusan, Hakim Collin Lawrence Sequerah menyatakan alasan-alasan yang dikemukakan pendakwa raya adalah kukuh.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/500cff3465fd7c31cdbdc932a0b5f11e.jpg)
