Malaysia Airlines (MAS) mencatatkan untung bersih RM133 juta untuk suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007 iaitu RM83 juta melepasi keuntungan yang disasarkan untuk tahun penuh 2007 sebanyak RM50 juta.

Untung operasi ialah RM129 juta, kejayaan ketiga syarikat mencatatkan keuntungan memberangsangkan untuk tempoh sukuan dan tertinggi sejak Rancangan Pemulihan Perniagaan (BTP) diumumkan pada Februari 2006.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekuti, Idris Jala berkata pendapatan tempoh suku menokok 21 peratus kepada RM3.6 bilion daripada RM3 bilion sebelumnya, dirangsang oleh penambahan dalam pendapatan penumpang sebanyak 21 peratus.

"Pencapaian untuk tempoh sukuan amat baik. Kami kini berazam untuk mencapai sasaran luar biasa iaitu antara RM300 juta hingga RM700 juta untuk tahun ini," katanya dalam taklimat media di Petaling Jaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, unjuran untung bagi tahun 2007 termasuklah keputusan kewangan "sasaran/unjuran", "melepasi" dan "luar biasa" iaitu masing-masing RM50 juta - RM99 juta, RM100 juta - RM299 juta dan RM300 juta ke atas.

Keputusan yang lebih baik daripada dijangkakan, terutamanya pada suku pertama yang sememangnya merupakan "musim lembap" untuk industri penerbangan, jelas menunjukkan yang fokus MAS terhadap aktiviti-aktiviti perniagaan utama amat berbaloi dan berhasil.

Pegangan tunai

Syarikat penerbangan negara itu turut memulihkan kedudukan pegangan tunainya kepada sekitar RM1.8 bilion daripada RM1.6 bilion pada Disember 2006 dan telah membayar semula sebahagian daripada pinjaman jangka pendeknya.

Mengenai tinjauan masa depannya, MAS dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, berkata tahun ini akan terus menjadi tahun yang amat mencabar bagi industri penerbangan.

Memetik Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, ia berkata,

pertumbuhan penumpang global untuk tahun ini dijangka perlahan kepada 5.0

peratus berbanding pertumbuhan 5.9 peratus pada 2006.

Sebaliknya, rantau Asia Pasifik, telah diunjurkan untuk berkembang lebih daripada enam peratus dalam tempoh lima tahun ini.

Berdasarkan trend-trend ini, MAS akan mengukuhkan tapaknya di rantau ini, terutamanya di ASEAN, China dan India serta Timur Tengah.

Di rantau-rantau lain, pakatan strategik telah diteruskan dengan syarikat-syarikat penerbangan lain bagi melengkapkan usaha syarikat itu sendiri, katanya.

Persaingan sengit

Persaingan akan terus sengit dan perolehan dijangka berada di bawah tekanan hebat hasil daripada pengurangan harga dan suntikan kapasiti memandangkan rekod penghantaran pesawat dijangka mengambil tempat pada tahun ini, kata MAS.

"Usaha-usaha promosi yang ketara oleh para pesaing kami di pasaran domestik dan Asean akan memberi kesan kepada pengembaraan keluar dari Malaysia."

Bagaimanapun, MAS akan terus mempertingkatkan aktiviti-aktiviti promosimenerusi pameran pelancongan seperti Pameran Pelancongan MAS dan MATTA.

Pada 14 Mac, MAS melancarkan Firefly, syarikat penerbangan komuniti pertama Malaysia bagi menembusi asas pengguna di Indonesia, Malaysia dan Thailand.

MAS berkata ia akan meneruskan inisiatifnya tahun ini untuk meningkatkan keuntungan dan ini termasuklah penempahan tiket secara elektronik dan penempahan Sistem Perkhidmatan Penumpang (PSS), memperbaiki "Customer Value Proposition" dan projek-projek kejuruteraan dan penyenggaraan yang produktif.