Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan lebih ramai jururawat bidang gerontologi atau mengkhusus dalam bidang penjagaan warga emas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.

Katanya keperluan itu sejajar dengan situasi negara sekarang yang mencatatkan peningkatan populasi warga emas dan memerlukan perhatian.

“Perkhidmatan khas khusus kepada warga emas memang sangat diperlukan.

"Bidang ini bukannya terhad kepada doktor pakar sahaja, jururawat juga sangat diperlukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKKM) Zon Sarawak di Kota Samarahan hari ini.

Lukanisman berkata banyak pusat kesihatan di bawah KKM juga telah memohon penambahan jururawat yang mengkhusus kepada penjagaan kecemasan dan rawatan rapi.

Menurutnya seramai 310 orang jururawat rawatan rapi, 48 jururawat gerontologi dan 51 jururawat primer sedang menjalani latihan di 19 ILKKM seluruh negara termasuk tiga buah di Sarawak.

Mengenai konvokesyen dihadirinya, Lukanisman berkata seramai 1,195 graduan menerima diploma masing-masing hari ini dan mereka merupakan sebahagian daripada 8,643 petugas KKM yang berjaya menamatkan latihan pengkhususan seperti dalam kejururawatan, kesihatan primer, pergigian dan farmasi.

Katanya konvokesyen terbabit akan diadakan bagi Zon Sabah di Dewan Canselor Sabah pada 23 Sept dan Zon Semenanjung Malaysia di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah, Perak pada 24 Okt.

- Bernama