Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga - Syed Saddiq
Diterbitkan:  Sep 10, 2023 10:02 PM
Dikemaskini: Sep 11, 2023 12:55 AM

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman enggan tunduk kepada desakan agar dia mengosongkan kerusi parlimen itu selepas mengumumkan keluar daripada blok kerajaan hari ini.

Presiden Muda itu berkata, bukan dia yang mengkhianati janji kepada pengundi pada pilihan raya umum ke-15 lalu.

"Apa platform yang kita berjuang? Sebelum PRU kita (kata) takkan gugurkan rasuah, akan lawan rasuah, akan bawa reforms (pembaharuan).

"Apa yang dijanjikan sebelum PRU dengan lepas PRU bagai langit dan bumi," katanya semasa bercakap dalam siaran langsung di media sosial malam ini bagi mengulas gesaan agar dia meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Syed Sadiq berkata PH sebelum ini berikrar mahu mengheret Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ke muka pengadilan kerana dakwaan rasuah - namun kini menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Dia juga berkata reformasi yang dijanjikan PH kini telah "dibatu-nisankan".

"Jikalau saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadang beli cermin untuk ahli parlimen atau menteri yang kata perkara tersebut.

"Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga. Sejak bila kamu dipilih untuk gugurkan rasuah. Adakah kamu sedia untuk kosongkan kerusi juga,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu mengumumkan keluar daripada blok kerajaan sebagai membantah pihak pendakwaan yang menarik balik pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Sementara itu dalam siaran langsung tersebut, Syed Saddiq membangkitkan keraguan terhadap penjelasan kerajaan bahawa Jabatan Peguam Negara telah bertindak secara bebas dalam menarik balik pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS