Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai esok susulan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata dia telah menerima surat daripada presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.

“Saya telah menerima surat, dia memohon untuk mengubah tempat. Tidak ada masalah, saya telah meminta pihak pentadbiran mengubah tempatnya ke tempat pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, Syed Saddiq dilapor menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang enam hari bermula hari ini yang memberi tumpuan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, sesi perbahasan oleh ahli Parlimen dijadual selama tiga hari bermula esok dan jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 serta 19 Sept.

Terdahulu, Johari menerima kunjungan hormat Speaker Parlimen Korea Selatan Kim Jin-pyo dengan kedua-dua pihak antaranya membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang teknologi.

“Saya mengajak dia untuk melihat dari sudut Asean kerana kita akan menjadi pengerusi bagi persidangan 2025...bagaimana teknologi yang dia ada dan tenaga buruh yang kita ada, bagaimana kita boleh membangunkan rantau ini sebagai rantau yang dihormati,” katanya.

Jin-Pyo juga meluangkan masa menyaksikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini selain mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

-Bernama