Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umat Islam dinasihati pilih restoran ada logo halal Jakim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menasihati umat Islam agar berhati-hati dan memastikan bahawa restoran yang dikunjungi mempunyai status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata ini penting kerana benda yang dimakan akan menjadi darah daging.

“Saya menasihati seluruh masyarakat Islam agar berhati-hati bila kita ke restoran dan tempat makan, sebagai orang Islam kita digalakkan tengok ada logo halal atau tidak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran TH Khairat di Menara Tabung Haji di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Na'im berkata demikian ketika diminta mengulas video tular baru-baru ini berhubung status halal sebuah premis nasi ayam claypot di Seri Petaling yang menggunakan wain beras dalam masakan.

“Saya ulangi apa yang JAKIM sebut bahawa pemilik restoran tersebut bukan pemilik sijil halal Malaysia yang dikeluarkan oleh badan autoriti,” katanya.

Beliau berkata JAKIM mempunyai cara untuk mengenal pasti sama ada sesebuah restoran memiliki sijil halal atau sebaliknya.

Katanya umat Islam digalak melayari portal rasmi Halal Malaysia di halal.gov.my atau memuat turun aplikasi Verify Halal bagi membolehkan mereka mengetahui sama ada pemilik sesebuah restoran mempunyai sijil halal atau tidak.

Mengulas produk TH Khairat iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh yang dilancarkan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini, Mohd Na'im berkata ia menawarkan langganan serendah RM28 setahun bagi pendeposit di institusi itu.

“Saya amat menghargai usaha Tabung Haji yang sentiasa komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pendepositnya. Terima kasih diucapkan kepada warga kerja Tabung Haji, juga pengendali takaful yang bekerjasama menjayakan inisiatif ini iaitu Takaful Malaysia dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad.

“Saya melihat usaha ini selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang satu daripada enam terasnya ialah ihsan. Ihsan atau rahmah ditakrifkan sebagai memelihara dan menyediakan keperluan asas yang diperlukan demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS