Ramai tidak setuju cadangan hukum ibubapa kerana kesalahan anak
Beberapa pihak tidak setuju dengan cadangan untuk menghukum ibu bapa yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.
Beberapa pihak tidak setuju dengan cadangan untuk menghukum ibu bapa yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata, hukuman sebegini tidak konduksif dan boleh memburukkan lagi institusi kekeluargaan.
Katanya, tidak wajar meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas ibubapa sedangkan suasana kehidupan sekarang lebih rumit dan membebankan.
Beliau berkata, anak-anak kini terdedah dengan pelbagai pengaruh luar seperti teknologi dan kawan sebaya dan ini di luar kawalan ibu bapa.
"Sebenarnya, gejala sosial yang berlaku di Malaysia berpunca daripada undang-undang itu sendiri, terutamanya berkaitan pornografi.
"Pornografi masih lagi ada ruang dalam majalah di pasaran tempatan dan ini merupakan salah satu faktor anak-anak terjerumus ke lembah makisat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung penguatkuasaan Seksyen 38 Akta Kanak-kanak 2001 yang antara lain mahu hukuman lebih tegas diambil terhadap ibu bapa yang cuai menjaga anak.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan mengkaji cadangan itu terlebih dahulu sebelum menguatkuasakannya.
'Tak masuk akal'
Sementara itu, Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez berkata, ini bukan cara yang terbaik untuk mengatasi masalah sosial anak-anak kerana ia turut dipengaruhi oleh beberapa faktor lain.
"Perkataan mengabaikan anak-anak tidak masuk akal kerana ibubapa bertungkus lumus untuk menyara keluarga mereka dalam keadaan kos hidup yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu membantu keluarga yang bermasalah dan ibu tunggal terutamanya dari kawasan pedalaman untuk mengurangkan beban supaya anak-anak mereka tidak terbabit dengan kegiatan tidak bermoral.
Pengerusi Biro Agama Puteri Umno, Senator Nordiana Shafie pula berkata, hukuman sebegini wajar dari satu sudut kerana boleh dijadikan garis panduan.
"ika ibubapa tersebut mengabaikan anak-anak mereka, wajar dikenakan hukuman supaya menjadi pengajaran kepada ibubapa yang lain," katanya.
Nordiana yang juga Ketua Puteri Umno Terengganu berkata, ibubapa bertanggungjawab ke atas anak-anaknya dan jika kurang memberi perhatian , sudah tentu mereka mencari kehidupan sendiri di luar rumah.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum berkata di Dewan Negara, 1,485 kes kanak-kanak di laporkan hilang tahun lalu dan 900 daripadanya berjaya ditemui semula.
Manakala pada 2005, sebanyak1,803 kes dilaporkan dengan 1,254 daripadanya ditemui semula.

