GLOBAL | Kadar kemiskinan di AS meningkat kepada 12.4 peratus pada tahun lalu, dengan kadar kemiskinan kanak-kanak meningkat dua kali ganda berbanding 2021, lapor Xinhua memetik data biro bancian negara itu.

Ukuran kemiskinan tambahan (SPM) yang membuat penilaian sama ada orang ramai mempunyai sumber mencukupi atau tidak untuk menampung keperluan mereka, meningkat 4.6 mata peratusan pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Data itu juga menunjukkan kadar kemiskinan kanak-kanak meningkat lebih dua kali ganda, daripada 5.2 peratus pada 2021 kepada 12.4 peratus pada 2022.

Menurut laporan itu ia merupakan kadar kemiskinan tertinggi kanak-kanak sejak agensi itu mula menjejaki indeks berkenaan pada 2009.

Sebuah badan pemikir berhaluan kiri AS, Pusat Belanjawan dan Keutamaan Dasar, melaporkan peningkatan kadar kemiskinan mencecah 15.3 juta rakyat negara itu.

Presiden Pusat Belanjawan dan Keutamaan Dasar, Sharon Parrott, menyatakan lonjakan kemiskinan di AS itu adalah "mengejutkan."

"Peningkatan kadar kemiskinan, yang terbesar dalam rekod 50 tahun secara keseluruhan dan untuk kanak-kanak, menggariskan peranan kritikal yang dimainkan oleh pilihan dasar dalam tahap kemiskinan dan kesusahan di negara ini," katanya.

SPM merangkumi pendapatan serta kesan bantuan bukan tunai, seperti bantuan makanan dan bantuan rumah.

- Bernama/Xinhua