Sekurang-kurangnya tiga pemimpin kerajaan tidak bersetuju dengan tindakan polis menghalang sekumpulan petani dari Perak mahu menghantar bantahan mereka di luar bangunan parlimen semalam.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Katanya petani terbabit sepatutnya diberikan peluang untuk menyatakan pandangan mereka kepada kerajaan.

Bahkan ahli parlimen terbabit juga memberi bayangan bahawa pihak berkuasa wajar memberikan ruang kepada pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi.

“Orang nak demo ke, turun ke jalanan ke, hantar memorandum ke, bagi sajalah. Beri ruang kepada mereka," ciap Young Syefura di Twitter malam tadi.

Semalam sekumpulan petani dari Chemor, Perak datang ke parlimen untuk meminta kerajaan campur tangan agar kebun-kebun mereka tidak ditukar menjadi kawasan perindustrian dan perumahan.

Kumpulan itu - yang mendakwa mewakili 250 petani - berkata kawasan seluas 1,600 ekar itu telah diusahakan untuk hasil tanaman sejak lebih 80 tahun lalu.

Young Syefura Othman

Sepuluh petani diiringi beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia dan NGO Lawan Lapar bagaimanapun dihalang di luar pagar kawasan parlimen.

Satu lagi kumpulan yang kebanyakannya ahli PSM dan aktivis Lawan Lapar pula berkumpul di Plaza Tugu Negara yang terletak berdekatan dan menyerahkan memorandum mereka kepada wakil kerajaan di situ.

Selepas dokumen diserahkan, sekumpulan petani itu bagaimanapun berkeras mahu berarak ke arah parlimen manakala polis cuba menghalang mereka, tetapi tidak berjaya.

Atur di tempat lain

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii pula berkata mereka sudah menyuarakan rasa tidak setuju dengan cara pihak berkuasa mengendalikan kumpulan tersebut.

Kata mereka, pandangan berkenaan disampaikan kepada pejabat Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

“Sekurang-kurangnya benarkan mereka berarak sehingga ke pintu parlimen, dan jika mereka mahu masuk, daftarkanlah mereka seperti orang lain.

“Pendekatan kita terhadap perhimpunan awam mesti berubah,” tulis Syahredzan.

Yii pula berkata sesiapa sahaja berhak untuk membuat petisyen kepada penggubal undang-undang dan memasuki parlimen jika keperluan syarat yang ada dipenuhi.

“Tidak perlu tindakan ketat terhadap sebarang tindakan aman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan malam tadi berkata, pentadbiran parlimen telah mengaturkan penyerahan petisyen itu diadakan di Tugu Negara.

Antara yang menemui petani itu ialah wakil Jabatan Perdana Menteri, wakil Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Menurut Noor Dellhan, petani terbabit tidak mengendahkan arahan polis dan meneruskan perarakan menuju ke Parlimen.

Sehubungan itu, polis memulakan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

[Baca berita asal]