DNAA Zahid: Bersih rancang 'kempen' reformasi sendiri
Satu lagi kumpulan sedang merancang "kempen" mereka sendiri sebagai tindak balas kepada kontroversi mengenai keputusan pendakwa raya menarik balik tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Bersih berkata walaupun ia menghormati hak orang ramai untuk membantah secara aman, ia mahu mengekalkan kebebasannya sendiri.
"Kami mengalu-alukan sebarang usaha parti politik untuk mendesak tadbir urus yang baik dan reformasi institusi serta menyokong hak mereka untuk mengadakan protes secara aman.
“Tetapi kami akan merancang kempen sendiri dan bekerjasama jika ini tidak menjejaskan kebebasan kami," kata pengerusi Bersih, Thomas Fann kepada Malaysiakini malam tadi.
Fann berkata demikian ketika ditanya jika Bersih akan menyertai protes Perikatan Nasional (PN) berhubung pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kes Zahid pada 16 September ini.
Selain PN, Muda juga memaklumkan parti itu merancang untuk menganjurkan protes dengan kerjasama pertubuhan masyarakat sivil.
Tidak jelas jika Bersih akan bekerjasama dengan Muda dalam menganjurkan protes mereka.
Sementara itu, kumpulan Baju Merah yang diketuai oleh pemimpin Umno, Jamal Md Yunos - yang pernah menjadi antagonis utama Bersih - merancang demo balas terhadap apa yang dianjurkan oleh PN.
Minggu lalu, pendakwa raya menarik balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Zahid dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Jabatan Peguam Negara berhujah bahawa langkah itu adalah untuk membolehkan siasatan lanjut dan mengelakkan keadilan daripada tidak dilaksanakan.
Pendakwa raya telah pun berjaya membuktikan kes prima facie, dan perbicaraan adalah di peringkat pembelaan apabila pertuduhan ditarik balik.
Pengkritik mendakwa campur tangan kerajaan dalam perkara itu, satu pertuduhan yang dinafikan Putrajaya.
Sebelum ini, Bersih mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semula DNAA untuk Zahid.
Ia juga menggesa kerajaan untuk memberikan garis masa yang jelas bila pemisahan antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya akan dilaksanakan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/7aafc938887d02346d295bb278951465.jpg)
