Adun Muda dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Amira Aisya Abd Aziz, enggan mengendahkan kata dua diberikan PH dan Amanah selepas parti itu meninggalkan blok kerajaan baru-baru ini.

Amira yang merupakan satu-satunya wakil Muda dalam DUN Johor berkata kerusi yang dimenanginya itu bukanlah milik parti.

“Kalau beri kata dua (kepada Muda) kena ingat prinsip kita bertanding.

"Apa saja terjadi kepada kerusi bukan milik parti… Puteri Wangsa atau Muar itu milik rakyat, bukan Muda,” katanya yang dipetik portal berita FMT hari ini.

Semalam Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, memberi kata dua kepada Amira Aisya agar meletak jawatan sebagai Adun atau menyertai Amanah ekoran langkah diambil Muda.

Kata Aminolhuda, Amira Aisya dan Muda memperoleh kerusi Puteri Wangsa semasa pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Johor pada 12 Mac 2022 melalui ihsan mereka.

Oleh itu, katanya, adalah adil untuk kerusi itu dikembalikan kepada Amanah, atau Amira Aisya sendiri menyertai parti berkenaan.

Dalam pembahagian kerusi dalam kalangan PH, kawasan berkenaan - yang dilihat sangat berpotensi untuk dimenangi gabungan terbabit - asalnya diserahkan kepada Amanah.

Bagaimanapun atas dasar kerjasama ketika itu Amanah membuka ruang kepada Muda bertanding di Puteri Wangsa.

Dalam PRN berkenaan Amira Aisya memenangi kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi di sebailk pertembungan enam penjuru.

Amira Aisya yang juga timbalan presiden Muda berkata berdasarkan kepada sikap PH terhadap status perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi, PH perlu sedar pendirian mereka semasa sebelum dan selepas PRU adalah berbeza.

Katanya sebelum ini PH berjanji kepada rakyat untuk melawan rasuah dan berikrar untuk menghantar presiden Umno itu ke penjara.

“Tak bagus jika dah ceramah seperti itu kemudian kita belakangkan janji kepada rakyat,” katanya.