Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM bidas tindakan polis panggil 3 pemimpinnya beri keterangan
Diterbitkan:  Sep 15, 2023 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

PSM membidas tindakan pihak polis memanggil tiga pemimpinnya kerana menghadiri penyerahan memorandum oleh sekumpulan petani di parlimen baru-baru ini.

Timbalan setiausaha agung parti itu, Bawani KS berkata, tiga individu yang dipanggil memberikan keterangan ialah timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan; bendahari kehormat Soh Sook Hwa, dan anggota Pemuda PSM Ayman Hareez.

Bawani berkata peguam PSM, Y Kohila menerima panggilan daripada seorang pegawai polis daripada IPD Dang Wangi kelmarin untuk mengambil keterangan ketiga-tiga mereka.

Ini selepas mereka menghadiri protes sekumpulan petani dari Perak di luar bangunan parlimen pada Selasa lalu bagi meminta kerajaan campur tangan berhubung rancangan kerajaan negeri untuk menukar kebuh-kebun mereka menjadi kawasan perindustrian dan perumahan.

"Ini adalah satu pencabulan dan penyalahgunaan kuasa oleh PDRM. PSM mengingatkan PDRM untuk mematuhi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

"Tindakan seharusnya diambil terhadap PDRM kerana menghalang dan mencabuli hak petani-petani yang hadir secara aman untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Parlimen," kata Bawani dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, parlimen bukan kawasan larangan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Jadi, adalah sesuatu yang memalukan kerajaan di bawah Kerajaan Madani, hak berhimpun masih disekat. Berpuluh-puluh polis ditempatkan untuk menghalang rakyat biasa daripada hadir ke Parlimen," ujarnya.

Tambahan pula, kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya untuk menyiasat individu yang hadir di bawah Seksyen 186 kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

"Tindakan PDRM ini adalah satu intimidasi, mencabuli hak dan membazir masa semua pihak.

"PSM bertegas bahawa Kerajaan Madani harus menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan tidak hanya sekadar melaungkan demokrasi tetapi tiada dalam perlaksanaan," katanya.

Lihat Komen
ADS