Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan umat Islam bahawa fatwa tidak boleh dikeluarkan oleh orang biasa ataupun mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya.

Katanya lebih parah jika pandangan atau 'fatwa' yang dikeluarkan itu dilihat mempunyai kepentingan peribadi tanpa meraikan maslahah kesatuan umat Islam secara keseluruhan.

"Namun, sekiranya perkara yang ingin dikongsikan adalah berkaitan pandangan hukum syarak atau fatwa bagi sesuatu perkara yang masih samar dan belum diputuskan, tidak sepatutnya bagi kita sebagai umat Islam untuk mengeluarkan kenyataan atau 'fatwa' sendiri secara terburu-buru, dengan mendahului pihak berautoriti," kata khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu.

Khutbah berkenaan tidak menyentuh mana-mana pihak, namun disediakan selepas baru-baru ini orang ramai tertumpu kepada pelbagai isu politik semasa.

Misalnya kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang mengeluarkan 'fatwa' mengharam pengundi Pulau dan Simpang Jeram mengundi calon PH dalam pilihan raya kecil tersebut.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan dia ada mengeluarkan fatwa, sebaliknya hanya berkias supaya pengundi tidak menyokong calon lawan.

Pada 5 Sept lalu, Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan berhubung isu 'fatwa' tersebut.

Khutbah hari ini juga menekankan perlunya setiap fatwa membawa kepada kestabilan dan keamanan sesebuah negeri atau negara.

"Fatwa hendaklah membawa kepada kestabilan dan keamanan sesebuah negeri atau negara.

"Fatwa juga perlu bersifat menyelesaikan masalah dan merungkai persoalan yang timbul di tengah masyarakat," katanya lagi.

Di Selangor, kata khutbah itu, sesuatu fatwa dikeluarkan bukan atas dasar pandangan seorang mufti semata-mata, sebalikya dibuat melalui kesepakatan ahli jawatankuasa fatwa negeri yang terdiri daripada alim ulama dan pakar.