Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memberi bayangan portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan diisi secepat mungkin.

Anwar yang ditemui media selepas majlis Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran di Putrajaya berkata jawatan itu akan diisi selepas beberapa pertimbangan dibuat.

“Insya-Allah, kita akan isi kekosongan. Kalau ada cadangan sila tulis surat kepada saya secepat mungkin… saya pertimbangkan,” katanya ketika ditanya perkembangan portfolio tersebut yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada malam 23 Julai lepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Tugas mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika ini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Mengenai saranan agar dia memberi penjelasan di Dewan Rakyat terkait isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan mahkamah, Anwar berkata: "Mungkin, insya-Allah."

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menggesa Anwar memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai keputusan DNAA pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri akan datang.

Pada 4 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

- Bernama