Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak-pihak tertentu yang membuat dakwaan kononnya beliau campurtangan dalam pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kongres nasional parti itu baru-baru ini.

Penasihat PKR itu menjelaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan pemilihan parti, termasuk dalam AMK, kerana mahu ditentukan sendiri oleh perwakilan.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau berhak untuk mengambil tahu mengenai pemilihan AMK atas kedudukannya sebagai penasihat PKR.

"Saya tidak arahkan sesiapapun, saya menghormati proses demokrasi dalam pemilihan parti dan kerana itu saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertandingan dalam parti.

"Tetapi jika saya tidak boleh menegur apa guna saya jadi penasihat. Kalau itupun tidak boleh, carilah orang lain jadi penasihat. Adakah penasihat parti perlu diam dan senyap sahaja," katanya kepada perwakilan PKR di Seremban baru-baru ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pihak tertentu yang mengatakan beliau mencampuri urusan pemilihan AMK dalam kongres nasional kali ini.

Setiausaha Agung AMK, SD Johari Yassin mendakwa beliau menarik diri dari bertanding jawatan timbalan ketua pergerakan itu kerana membantah campurtangan Anwar dalam pemilihan jawatan AMK.

'Berani menegur'

SD Johari berkata, Anwar telah mengarahkan ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin mencari jalan supaya beliau kalah dalam pertandingan timbalan ketua pergerakan itu.

Bagi menyokong dakwaan tersebut, seorang pemimpin AMK Ismail Hassan berkata, calon angkatan muda yang tidak direstui oleh pucuk pimpinan, telah kalah dalam pemilihan AMK.

Berikutan itu, beliau menyokong pemimpin AMK yang berani menegur dan mengkritik pemimpin atasan yang cuba mencampuri urusan pemilihan dalam angkatan tersebut.

'Kita bukan pak sanggup yang yang mesti setuju dengan apa sahaja dengan keputusan pemimpin tinggi," katanya.

Sebaliknya, kata Ismail, pemimpin AMK perlu berjiwa besar dan tidak perlu memperdulikan campurtangan dari pemimpin atasan.

"Perjuangan lebih penting dan kerana itu pemimpin muda tidak boleh dibelenggu oleh perkara remeh seperti dakwaan mengenai campurtangan dalam pemilihan parti," katanya.

Dalam pemilihan AMK, Shamsul Iskandar mengalahkan Hasmi Hashim manakala Feriz Musa mengalahkan ketua AMK Kelantan, Zamakhsari Ibrahim untuk memenangi jawatan timbalan ketua.