Paling Popular
Terkini

Pemimpin PN mengingatkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail supaya sedar diri bahawa dia adalah menteri yang tewas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu

Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata Saifuddin adalah senator yang dilantik menjadi menteri kerana disayangi oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

"Kau jadi menteri bukan sebab bukan sebab rakyat pilih, kau kalah pilihan raya.

"Kau jadi menteri sebab Anwar sayang kau, sebab tu kau jadi menteri.

Adun Taman Medah Dr Afif Bahardin.

"Dia (Saifuddin) kata kita hina 16 Sept, saya nak bagi tahu dulu 16 Sept ada orang sibuk cari ahli parlimen nak tumbangkan kerajaan," katanya ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Malaysia di hadapan Sogo di Kuala Lumpur, petang ini.

Afif dipercayai merujuk dakwaan Anwar pada 16 Sept tahun 2008 yang ketika itu ketua pembangkang mengatakan lebih daripada 31 ahli parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan pentadbiran baru. Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan.

Kelmarin, Saifuddin menyifatkan tindakan memilih tarikh 16 Sept untuk mengadakan ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ sebagai tidak menghormati sambutan Hari Malaysia, yang signifikan dan sarat dengan semangat saling menghormati dan kepatuhan kepada undang-undang.

Katanya, pemilihan tarikh itu, jelas menunjukkan rasa tidak hormat terhadap amalan hidup toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

“Mereka juga tidak menghormati kelompok daripada rakan-rakan kita di Sabah, Sarawak, yang mana tarikh itu amat penting sekali kepada mereka. Sebaiknya jangan pilih 16 Sept kerana itu tarikh sambutan Hari Malaysia,” kata Saifuddin.

Mengulas lanjut, Afif mendakwa Saifuddin bukan saja menteri tanpa mandat rakyat tetapi juga telah menyalahgunakan kuasa.

"Dia jadi menteri, dia gunakan kuasa untuk pertahankan perasuah, perompak dan juga penyamun. Sebab itu hari ini kita berhimpun kita sudah tiada jalan lain.

"Saya nak beritahu menteri 'cicak mengkarung' ini, perhimpunan kita hari ini adalah permulaan untuk perjuangan yang panjang...perjuangan kita untuk selamatkan Malaysia," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS