Siasatan polis terhadap perhimpunan membantah kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi tidak mempunyai asas undang-undang, kata kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah LFL Zaid Malek berkata Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang digunakan polis sudah ditolak di mahkamah pada 2014.

Seksyen itu menyatakan seseorang yang gagal memberikan notis sebelum mengadakan perhimpunan boleh didenda tidak lebih RM10,000.

Zaid justeru berkata semua siasatan bawah seksyen itu mesti dihentikan.

Zaid Malek

Mahkamah Rayuan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad lawan pendakwa raya pada 2014 memutuskan bahawa Seksyen 9(5) bercanggah dengan perlembagaan.

Zahid berkata keputusan itu masih berkuat kuasa memandangkan ia tidak pernah diubah oleh mahkamah lebih tinggi.

Katanya, walaupun pada 2015 terdapat kes lain di Mahkamah Rayuan yang tidak berpendapat sebaliknya, ia tidak membatalkan keputusan sebelum ini.

“Hanya mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah lebih tinggi, yang boleh mengubah keputusan kes Nik Nazmi,” katanya.

Zahid Hamidi

Polis setakat ini menyiasat 25 orang peserta demonstrasi pada Hari Malaysia 16 September lalu di ibu negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penganjur gagal memberikan notis lima hari lebih awal, berhimpun di tempat larangan, iaitu masjid serta membawa kanak-kanak.

Demonstrasi Sabtu lalu digerakkan oleh Perikatan Nasional (PN) bagi membantah keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon menghentikan 47 kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Zahid.

Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Zahid membangkitkan isu amat serius dalam surat representasinya, antaranya dakwaan dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.

[Baca berita asal]