Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tun Faisal tuntut dakwa Zahid atau PN 'berdemo' lagi
Diterbitkan:  Sep 18, 2023 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Pemimpin Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz memberi amaran bahawa PN mungkin akan menganjurkan satu lagi tunjuk perasaan jika tuntutannya, termasuk supaya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa semula, tidak diendahkan.

Tun Faisal antara yang disoal siasat berhubung perhimpunan pada 16 Sept lalu.

"Kita ada tiga tunjutan. Pertama dakwa (Zahid).

"Kedua kita minta dibebaskan SPRM dan Jabatan Peguam Negara daripada kuasa eksekutif dan yang ketiga kita minta keadilan yang jelas untuk semua pihak.

Gambar fail, tunjuk perasaan pada 16 Sept lalu.

"Jangan ada untuk rakyat satu standard yang lain untuk pemimpin kerajaan satu standard yang lain.

"Jadi apa yang kita minta, dakwa semula yang pertamanya Zahid Hamidi. Kalau tidak, kita mungkin akan buat benda yang sama. Kita akan turun (berdemonstrasi) lagi sekali," tegasnya ketika bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Tambahan pula, Tun Faisal berkata terdapat isu lain membabitkan kerajaan gabungan PH-BN seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup dan lain-lain.

"Banyak isu kerajaan ini yang sepatutnya rakyat ramai-ramai bangkit dan persoalkan.

"Cuma yang kali ini kita rasa semua orang percaya bahawa apa yang berlaku pada Zahid Hamidi tidak sepatutnya berlaku.

"Kita minta kerajaan segera ambil tindakan kalau tidak, nampak sangat undang-undang kita ini diperlekehkan dan dipermainkan,” katanya.

Selain disoal polis mengenai perhimpunan tempoh hari, Tun Faisal berkata polis turut menyiasatnya berhubung laporan yang dibuatnya pada hari sama mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan.

"Siasatan yang (orang) lain saya tak tahu...

“Saya juga diminta keterangan berkaitan dengan perhimpunan ini. Jadi bagi saya ini adalah proses biasa yang dilaksanakan oleh polis.

"Walaupun sebenarnya pada pandangan saya siasatan ini tidaklah ada asas yang daripada segi undang-undang, kerana atas perhimpunan aman pertama membenarkan kita sebagai rakyat Malaysia menyuarakan pandangan dan juga perhimpunan," katanya lagi.

Sabtu lalu, Tun Faisal berkata laporan polisnya meminta pihak berkuasa menyiasat isu DNAA Zahid.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 25 orang akan disoal siasat berhubung perhimpunan itu, yang didakwa pihak berkuasa tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Bagaimanapun, NGO Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa siasatan itu menyalahi undang-undang kerana seksyen tertentu di bawah PAA telah dibatalkan oleh mahkamah pada 2014.

Pada 4 Sept lepas, Zahid diberi DNAA selepas pihak pendakwaan menarik balik 47 pertuduhan berkaitan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi

Salah satu sebab yang disebut ialah timbalan perdana menteri boleh menjadi mangsa pendakwaan terpilih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS