Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin kemuka permohonan batal 3 kes pengubahan wang haram
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 9:48 AM
Dikemaskini: 7:01 AM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa ke atas dirinya.

Peguam bela Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan demikian kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Katanya,  permohonan itu akan difailkan mengikut Seksyen 173 (g) Kanun Tatacara Jenayah  secepat mungkin.

“Selain itu, kami juga akan mengemukakan permohonan secara bertulis untuk mendapatkan kembali pasport anak guam (Muhyiddin),” kata Hisyam.

Muhyiddin, 76, tidak kelihatan pada prosiding hari ini kerana kehadirannya dikecualikan.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan pihak pendakwaan supaya kesemua tujuh pertuduhan menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya memohon agar pendengaran bagi permohonan untuk kesemua tujuh pertuduhan itu dibicarakan bersama, ditangguhkan pada tarikh lain.

“Ini kerana pihak kami memfailkan notis rayuan pada 15 Ogos dan petisyen rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan tertuduh (Muhyiddin) setelah membenarkan permohonan tertuduh untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan.

“Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes bagi rayuan itu pada 27 Sept ini. Kedua-dua pihak bersetuju tarikh sebutan kes di mahkamah ini pada 29 Nov,” katanya.

Hisyam tidak membantah terhadap penangguhan pendengaran dan tarikh sebutan berkenaan.

“Bagaimanapun, kami mohon kehadiran anak guam kami (Muhyiddin) pada sebutan kes 29 Nov ini dikecualikan,” kata peguam itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi kemudian menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan kes dan kedua-dua pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah tentang perkembangan pengurusan kes di Mahkamah Rayuan sebelum memutuskan tentang pengecualian kehadiran Muhyiddin.

“Perkembangan mengenai pengurusan kes itu perlu difailkan dalam sistem,” katanya.

Sebelum ini, pada 15 Ogos, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyidin untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa. Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pembebasan itu.

Muhyiddin berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa, yang dirangka di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009. Dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu adalah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Pemimpin berusia 76 tahun itu didakwa menerima lebih RM120 juta hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

Presiden Bersatu itu berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Di bawah undang-undang, pengubahan wang haram adalah proses menukar wang tunai, dana atau harta yang diperoleh daripada aktiviti jenayah untuk memberikannya penampilan yang sah. Ia adalah tindakan membersihkan wang 'kotor' bagi menyamarkan asal usul jenayah itu.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS