TI perjelas kaedah tinjauan rasuah dalam bidang kehakiman
Malaysia menduduki ranking kesembilan kurang rasuah dalam tinjauan persepi rasuah dalam bidang kehakimannya kerana responden merasakan rasuah kecilan tidak banyak berlaku di negara ini, kata Transparency International (TI).
Malaysia menduduki ranking kesembilan kurang rasuah dalam tinjauan persepi rasuah dalam bidang kehakimannya kerana responden merasakan rasuah kecilan tidak banyak berlaku di negara ini, kata Transparency International (TI).
Badan pemantau yang beribupejabat di Berlin itu berkata, kaedah yang digunakan dalam tinjauan tersebut mungkin menyebabkan responden tidak mengambilkira rasuah di mahkamah lebih tinggi dan menambah, tinjauan tersebut bukan bertujuan untuk menentukan ranking.
Laporan Rasuah Global TI menjalankan tinjauan tersebut tahun lalu ke atas 60,000 responden dari 62 negara.
Hasil tinjauan itu, yang diumumkan minggu lalu, meletakkan Malaysia di ranking kesembilan kurang rasuah. Keputusan itu telah mengejutkan TI Malaysia dan Majlis Peguam, dan meminta penjelasan mengenainya.
Dalam jawapannya, Editor Laporan Rasuah Global, Dieter Zinnbauer mempertahankan kaedah yang digunakan tetapi berkata, TI faham mengapa salahtafsir itu berlaku.
"Saya berkongsi sepenuhnya kekejutan mengenai hasil tinjauan bagi Malaysia itu, yang perlu diterjemah secara berhati-hati agar ia tidak memberi gambaran yang salah dan membebaskan bidang kehakiman di Malaysia," kata Zinbauer dalam suratnya kepada Pengerusi TI Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam semalam.
Menurut Zinnbauer, kaedah yang digunakan dalam tinjauan tersebut telah "mematuhi standard saintifik".
Kesan penting
Menurutnya, seramai 1,250 rakyat Malaysia "di kawasan Bandar" telah ditemubual dalam tinjauan tersebut.
Katanya, ia dijalankan oleh Gallup International bagi pihak TI dalam tempoh 27 Julai hingga 22 Ogos 2006. Kaedah yang digunakan ialah bertemu sendiri dengan responden.
Zinbauer berkata, TI tidak boleh mendedahkan pecahan responden mengikut kaum atau kumpulan sosio-ekonomi, kerana ia adalah merupakan satu tinjauan global.
"Ini memberi kesan yang penting. [Keputusan tinjauan itu] menunjukkan perlunya satu kajian mendalam di peringkat tempatan dijalankan mengenai pengalaman dan persepsi terhadap bidang kehakiman yang mengambilkira keadaan khusus domestik dan perbezaan pengalaman mengenai rasuah yang dapat dilihat dalam purata tunggal nasional," katanya.
Zinnbauer juga berkata, tinjauan itu bukan untuk tujuan menentukan ranking. "[Tinjauan itu] adalah mengenai persepsi rasuah itu, dan bukan pengalaman sendiri. Ini adalah sesuatu yang amat subjektif," katanya.
"Rakyat dalam negara yang berlainan mempunyai tanggapan dan tafsiran yang berbeza mengenai rasuah dan mungkin menggunakan rujukan yang berbeza mengenai apa yang mereka faham mengenai keadaan yang bebas rasuah.
"Oleh itu, untuk mengatakan rasuah dalam bidang kehakiman adalah paling teruk di negara X berbanding dengan Y bukanlah suatu kesimpulan yang tepat. Ini bukan mengenai ranking dan tafsiran seumpama itu dalam media amatkan dikesali," katanya.
Mengenai ranking yang agak tinggi bagi Malaysia, Zinbauer merasakan responden di negara ini mungkin tertumpu kepada rasuah kecilan, dan tidak mengambilkira campurtangan kuasa politik dan ekonomi.
Tinjauan tersebut yang dianggap sebagai kayu pengukur mengenai rasuah global, adalah satu persepsi dan pengalaman orang awam mengenai rasuah. Fokus tahun ini ialah rasuah dalam bidang kehakiman. Berita asal

