Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara ke atas seorang bekas pemandu bas sekolah yang disabitkan tiga pertuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Azman Abdullah dan SMKomathy Suppiah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengubah keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan dan melepaskan Kassim Tahir daripada kesalahan itu.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hadhariah berkata sabitan ke atas kes itu dikekalkan.

Hadhariah berkata mahkamah mengetepikan keputusan mahkamah sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas setiap pertuduhan dan menggantikannya dengan penjara lapan tahun untuk setiap pertuduhan dan ia berjalan serentak.

Hakim terbabit juga berkata hukuman sebat yang dijatuhkan mahkamah sesyen ke atas Kassim bagi setiap pertuduhan diketepikan.

Hadhariah turut memerintahkan Kassim memulakan hukumannya mulai hari ini dan berkata hukuman lapan tahun penjara itu akan mengambil kira tempoh lelaki itu ditahan sebelum ini.

Terdahulu, Hadhariah berkata mahkamah tinggi terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman bahawa siasatan permulaan sepatutnya dilaksanakan sebelum mahkamah sesyen menerima bukti daripada mangsa.

Pada 16 Julai 2019, mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Kassim dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Kassim diperintahkan menjalani hukuman secara serentak.

Pada 8 Sept 2020 mahkamah tinggi mengubah keputusan mahkamah sesyen dengan membebaskan dan melepaskan lelaki itu.

Menurut kertas pertuduhan, Kassim melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bas di Ulu Tiram, Johor pada pukul 8 malam antara April 2016 dan Mei 2016.

Timbalan pendakwa raya Aida Khairuleen Azli berhujah, adalah perlu bagi hakim mahkamah sesyen melaksanakan siasatan permulaan di bawah Seksyen 133A Akta Keterangan kerana mangsa bukannya kanak-kanak yang masih mentah kerana ketika memberi keterangan terperinci mengenai apa yang dilakukan Kassim terhadapnya mangsa sudah berusia 14 tahun.

Semasa mitigasi, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Che Muji Che Noh yang mewakili Kassim berkata anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang dan merayu mahkamah untuk meringankan hukuman penjara yang akan dijatuhkan.

- Bernama