Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bayi dirampas': Kementerian dakwa ibu tolak hak jagaan anak
Diterbitkan:  Sep 20, 2023 11:00 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menafikan dakwaan bayi yang dilahirkan ibu tanpa kerakayatan 'dirampas' di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata terdapat satu insiden khusus melibatkan seorang ibu berketurunan Bajau Laut yang merupakan "kes lama", dan ia telah diselesaikan selepas wanita itu menolak tawaran untuk mendapatkan semula hak penjagaan bayinya.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menjelaskan tiga kes lain yang dilaporkan Malaysiakini termasuk seorang ibu membunuh diri bersama bayinya kerana tidak mahu kehilangan anaknya dan dipaksa membayar bil hospital yang tinggi, dan dua kes di mana ada ibu mendapatkan semula bayi mereka yang baru dilahirkan hasil campur tangan daripada ketua kampung.

Kementerian itu merujuk kes yang berlaku pada 2021 - dipercayai melibatkan seorang wanita yang dikenali sebagai Aimah - di mana bayinya yang baru dilahirkan diletakkan di bawah jagaan sementara orang lain.

Bagaimanapun kementerian itu mengatakan ia merupakan proses sementara bagi mengenal pasti ibu atau bapa atau penjaga bayi tersebut.

Aimah sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa pada Sept 2021, dia melahirkan bayi pramatang di rumahnya dan dikejarkan ke hospital. Susulan itu ibu dan bayi yang sedang bertarung nyawa itu dimasukkan ke wad serta-merta.

Aimah pulih beberapa hari kemudian selepas pemindahan darah dan diminta pulang manakala bayinya ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU).

Bagaimanapun, pihak hospital dilaporkan mendakwa dia meninggalkan bayi itu tanpa pengawasan selepas dua bulan dan mereka kemudiannya menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM kemudiannya mendapati Aimah tidak mampu menjaga bayinya dan mengambil anak tersebut.

Dalam tempoh seminggu, seorang pegawai perlindungan kanak-kanak memproses permohonan tersebut dan Mahkamah Majistret memberikan hak penjagaan bayi Aimah kepada ibu bapa angkat.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagaimanapun menjelaskan bayi itu telah ditinggalkan di hospital selama tiga bulan.

Kementerian itu menjelaskan seorang wanita yang mendakwa sebagai ibu kandung bayi terbabit hadir ke hospital untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya, namun bayi itu telah diberi perintah jagaan tetap oleh mahkamah.

Menurutnya, selepas mendapat pengesahan daripada ketua kampung, kementerian itu berkata pegawai perlindungan terbabit telah menawarkan untuk mengembalikan kanak-kanak itu kepada ibu bapa kandungnya.

"Namun, ibu bapa kandung telah membuat keputusan untuk menyerahkan kanak-kanak kepada OYLS (Orang Yang Layak dan Sesuai) melalui akuan sumpah berkanun secara suci hati.

"Selain itu, pelindung juga mendapati bahawa ibu kandung tidak berkemampuan untuk memelihara kanak-kanak ini disebabkan oleh faktor kewangan dan kesihatan kronik serta tidak berupaya membiayai kos perubatan kanak-kanak tersebut dan telah meninggalkan kanak-kanak (pramatang) ini selama tiga (3) bulan di Hospital Lahad Datu, Sabah,” jelasnya.

Semakan prosedur pengendalian kes

Sementara itu, kementerian itu berkata satu sesi persidangan kes telah diadakan pada 19 Sept bagi membuat semakan berhubung prosedur pengendalian kes pemeliharaan dan perlindungan bayi terbabit.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas 4 empat hari Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai kes bayi 'dirampas' di Sabah.

Kementerian itu berkata semakan mendapati dakwaan yang dilaporkan Malaysiakini adalah "tidak benar" dan pengendalian kes telah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan laporan pelindung, perintah mahkamah, laporan polis, akuan sumpah berkanun, permohonan daftar lewat kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan daripada pihak Hospital Lahad Datu.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi menafikan dakwaan dalam laporan Malaysiakini.

Aimah ketika bercakap kepada Malaysiakini sebelum ini berkata dia berharap akan mendapat semula anaknya.

Pegawai perlindungan kanak-kanak dalam kes Aimah dan dua yang lain, memberitahu Malaysiakini bahawa secara umumnya komuniti yang tidak mempunyai kewarganegaraan itu dilihat sebagai tidak berkemampuan menjadi ibu bapa disebabkan kemiskinan dan keadaan hidup yang daif.

Pegawai itu berkata JKM dan polis telah menghabiskan masa seminggu untuk mencari Aimah semasa prosedur menjadikan bayinya sebagai anak angkat, tetapi gagal menemui wanita berkenaan.

“Kini dia perlu buktikan bahawa anak itu adalah miliknya. Apa bukti yang dia ada?” soalnya.

Dia mendakwa Aimah hanya muncul selepas mahkamah memberikan hak penjagaan kepada ibu bapa angkat.

“Kami sudah membuat permohonan untuk mengambil anak angkat itu, jadi kami mengemukakan kes itu di mahkamah. Kenapa tidak berikan bayi itu kepada penjaga yang sah?” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian atau salah laku dalam pengendalian kes pegawai perlindungan dan mengalu-alukan aduan disalurkan menerusi Talian Kasih 15999.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS