Pilihanraya umum akan datang dijangka menyaksikan lebih ramai calon wanita diletakkan mewakili PAS bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di setiap negeri.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, ini ekoran 50 peratus pengundi dalam pilihanraya umum adalah daripada golongan wanita.

"Sayap Nisa' (sayap wanita) yang PAS tubuhkan dua tahun lalu juga mendapat penyertaan hampir 5,000 orang yang menunjukkan semakin ramai golongan wanita menyokong parti ini.

"Saya sendiri secara peribadi menyokong supaya diperbanyakkan calon muslimat dalam pilihanraya akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-47 di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ia terpulang kepada pencalonan yang dilakukan setiap kawasan dan negeri sebelum ia diluluskan di peringkat pusat.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Azizah Khatib Mat berkata, senarai nama calon wanita sudah disediakan dan jumlahnya dipercayai lebih banyak daripada pilihanraya 2004.

Beri elaun

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah calon wanita yang akan diletakkan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Mengenai kes Lina Joy yang memohon menggugurkan perkataan Islam daripada Mykad, Nasharuddin berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak tuntutan itu adalah tepat dengan memberikan bidangkuasa bagi memutuskan perkara itu kepada Mahkamah Syariah.

Sementara itu, dalam ucapan, Azizah berkata, PAS bercadang memberikan elaun khas kepada surirumah sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum akan datang.

Katanya, cadangan itu jika dilaksanakaan akan menggalakkan surirumah menumpukan sepenuh masa mereka dalam soal pengurusan rumahtangga terutama bagi mendidik anak-anak.

Beliau berkata, ia bukan hanya sekadar polemik yang diadakan untuk pilihanraya semata-mata tetapi sebagai tanda prihatin Dewan Muslimat PAS terhadap pengorbanan yang dilakukan suri rumah.