Pelarasan gaji pekerja ladang tidak mencukupi, kata aktivis
Pelarasan gaji pekerja ladang sebanyak sembilan peratus bukanlah peningkatan yang drastik dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan pekerja, kata aktivis masyarakat, S Arulchelvam.
Pelarasan gaji pekerja ladang sebanyak sembilan peratus bukanlah peningkatan yang drastik dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan pekerja, kata aktivis masyarakat, S Arulchelvam.
Katanya kenaikan ini tidak akan membawa apa-apa berubahan memandangkan kos kehidupan yang semakin tinggi.
"Kenaikan itu hanyalah sebanyak RM1.40 sehari, iaitu jika dihitung dengan hari bekerja sebanyak 26 hari, maka jumlahnya baru RM36.40.
"Itupun tidak tentu kerana kerja peladang dan penoreh getah bergantung kepada faktor cuaca, jika hujan mereka tidak boleh bekerja," katanya.
Selain faktor cuaca, katanya, kerja peladang turut dipengaruhi oleh banyak faktor lain, antaranya harga getah dan kelapa sawit di pasaran dunia dan jenis tanah.
Menurut beliau, gaji peladang ini berasaskan sistem gaji harian dan ini menyebabkan pendapatan mereka tidak tetap.
Sistem gaji harian
Beliau berpendapat, sistem gaji harian ini harus ditukar menjadi sistem gaji bulanan agar pekarja dapat merancang segala perbelanjaan mereka.
Kira-kira 30,000 pekerja ladang dalam tiga kategori penoreh getah, pekerja padang dan pekerja am memperolehi penyelarasan gaji sebanyak sembilan peratus mulai Jun ini berikutan termeterainya perjanjian bersama antara Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) semalam.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn dilaporkan berkata, mereka juga diberi faedah lain seperti insentif kehadiran sebanyak RM95 sebulan dan elaun perumahan sebanyak RM95 sebulan.
Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa Mapa akan membayar gaji tertunggak untuk 17 bulan kepada setiap pekerja sebagai bayaran ex-gratia bagi tempoh 1 Januari 2006 hingga 31 Mei 2007 pada Jun ini.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, berkata kenaikan gaji bagi pekerja ladang adalah terlalu rendah jika dibanding dengan kakitangan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 35 peratus.
Katanya, sembilan peratus itu jumlah yang kecil dan tidak cukup kepada pekerja ladang yang berpendapatan rendah.
Kos hidup meningkat
Beliau berkata, kenaikan tersebut tidak mengambarkan keseimbangan dengan kos hidup yang semakin meningkat.
"Mungkin gaji tersebut akan mencukupi sekiranya kos hidup seperti harga minyak dikurangkan," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Katanya, tidak banyak perubahan yang dapat dilakukan dengan kenaikan gaji sebanyak sembilan peratus jika harga barang naik tanpa kawalan.
Mahfuz berkata, kerajaan sepatutnya memberi gaji minima umpamanya RM900 sebulan kepada pekerja ladang.
Selain itu, kerajaan katanya, boleh memberi faedah-faedah lain kepada golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
"Antaranya faedah yang boleh diberikan ialah tepung susu percuma kepada anak yang berumur bawah dua tahun, pendidikan percuma dan kebajikan untuk orang-orang tua," katanya.

