Kes Altantuya: Karpal pohon diberi peluang soal saksi
Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan hak pemeriksaan saksi dan membuat penghujahan dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang bermula Isnin ini.
Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan hak pemeriksaan saksi dan membuat penghujahan dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang bermula Isnin ini.
Karpal yang dilantik sebagai peguam pemerhati bagi pihak Shaariibuu Setev (bapa Altantuya) dan Kerajaan Mongolia, memfailkan notis itu menerusi Tetuan Karpal Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah).
Dalam notis usul tersebut, Karpal turut memohon kesemua prosiding ansilari lain dalam perbicaraan kes itu, demikian menurut laporan Bernama.
Karpal, menerusi afidavit sokongan itu, mendakwa beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian dalam menjaga kepentingan keluarga si mati dan kerajaan Mongolia serta orang awam.
Beliau turut mendakwa pembabitannya dalam perbicaraan kes itu tidak sepatutnya hanya dihadkan atas budi bicara hakim memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan terdapat banyak kes jenayah berprofil tinggi yang dijejaskan oleh kelemahan pihak pendakwaan, dan ia menyebabkan kemerosotan keyakinan rakyat terhadap pihak pendakwaan dalam negara ini.
Karpal mendakwa apa-apa bantuan daripada peguam pemerhati bagi keluarga si mati tidak patut dianggap sebagai cubaan untuk mengambil alih peranan pegawai pendakwaraya dan ia tidak patut dianggap bahawa pegawai pendakwa raya mengabaikan tanggungjawab beliau menurut Perkara 145(3), Perlembagaan Persekutuan.
Perbicaraan yang mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin, melibatkan tiga tertuduh iaitu penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri serta Koperal Sirul Azhar Umar.

