Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah menyerahkan writ saman kes fitnah kepada malaysiakini semalam berhubung penyiaran artikel-artikel yang mendakwa pembabitannya dalam skandal balak.

Saman setebal 30 halaman itu yang menamakan malaysiakini dan ketua pengarangnya, Steven Gan menyenaraikan artikel-artikel yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah itu.

Artikel-artikel tersebut adalah berasaskan kepada laporan yang disiarkan oleh akhbar Japan Times sebelum itu.

Selain malaysiakini dan Gan, Taib juga berkata, beliau akan mengambil tindakan yang sama terhadap akhbar Utusan Malaysia milik Umno dan Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Mohd Khalid Mohd atas dakwaan memfitnah.

Dua pemimpin pembangkang Pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi dan ketua PKR cawangan Stampin, See Chee How turut disaman kerana mengedarkan risalah yang mengandungi artikel malaysiakini dan Japan Times . Writ saman itu diserahkan kepada mereka hari ini.

Dalam afidavitnya yang diserta bersama saman itu, Taib menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut dan menyifatkan sebagai 'palsu'.

Taib berkata, laporan malaysiakini itu membayangkan bahawa beliau seorang yang korup, dan beliau tidak layak menjadi ketua menteri Sarawak dan ahli Parlimen, atau memegang jawatan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.

Surat tuntutan

Taib juga menuntut bayaran gantirugi teruk ekoran keengganan malaysiakini untuk mematuhi surat tuntutannya.

Surat tersebut, antara lain, menuntut malaysiakini berhenti menyiarkan kata-kata yang berunsur fitnah serta penarikan balik dan permintaan maaf umum yang penuh menurut terma-terma yang diluluskan oleh Taib.

Katanya, malaysiakini telah gagal dan enggan mematuhi tuntutan-tuntutan tersebut tetapi sebaliknya dengan 'sengaja dan berniat jahat' terus menyiarkan kata-kata yang berunsur fitnah terhadapnya.

Taib menuntut bayaran gantirugi teruk bagi lima artikel susulan mengenai skandal balak itu, serta gantirugi teladan bagi artikel bertajuk "Sogokan RM32 juta baru sebahagian kecil saja".

"Pada semua masa material, defenden-defenden berusaha lebih giat untuk mendokumen bahan berita yang melibatkan plantif dan meneruskan penerbitan kata-kata memfitnah dengan tujuan meningkatkan kepopularan lamanweb tersebut demi menjana hasil yang lebih banyak dan menambah bilangan pembaca termasuk tetapi tidak terhad kepada menarik pelanggan dan pengiklan tambahan ke lamanweb tersebut," tambahnya.

Taib juga akan memohon injuksi untuk menghalang malaysiakini daripada menyiarkan kata-kata memfitnah atau kata-kata yang serupa memfitnah plantif serta pemintaan maaf umum.