18 terbunuh dalam letupan bom di selatan Thai
Seramai 18 terbunuh dalam dua kejadian berasingan di wilayah selatan Thai malam semalam. Sebelas daripada yang terbunuh itu adalah anggota separa tentera.
Seramai 18 terbunuh dalam dua kejadian berasingan di wilayah selatan Thai malam semalam. Sebelas daripada yang terbunuh itu adalah anggota separa tentera.
Jurucakap tentera Kolonel Akara Thiproj berkata, pihak pemberontak disyaki meletupkan bom di tepi jalan, yang mengenai sebuah unit peronda di Kampung Tanah Putih di daerah Bannang Satar, Yala kira-kira jam 9 malam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, 10 anggota separa tentera itu meninggal dunia semalam dan seorang lagi pagi ini manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Akara berkata, renjer terbabit sebelum itu bertugas mengawal sekumpulan wanita dan kanak-kanak yang mengadakan tunjuk perasaan sepanjang jalan Yala-Betong di daerah itu yang terkenal sebagai satu daripada tempat paling berbahaya kepada pasukan keselamatan di selatan.
Ini merupakan jumlah kematian paling tinggi yang membabitkan pasukan keselamatan di wilayah bergolak itu sejak beberapa bulan lalu.
Ia berlaku hanya tiga minggu selepas tujuh anggota tentera terkorban akibat serangan bom yang serupa di Narathiwat.

