Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KPM sedia hadapi musim tengkujuh
Diterbitkan:  Sep 24, 2023 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat persiapan untuk semua sekolah menghadapi kemungkinan musim banjir menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM sentiasa berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan bekerjasama dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“KPM sentiasa bersedia untuk menghadapi banjir kerana ini adalah tanggungjawab dan rutin kita.

"Jawatankuasa penyelaras juga sudah berbincang dan Pusat Pantauan Banjir juga sudah bersedia menghadapi musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pusat multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Aceh di Nibong Tebal hari ini.

Fadhlina berkata KPM sudah menyiapkan sebahagian besar mekanisme yang diperlukan termasuk sekolah-sekolah yang akan terlibat sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diperlukan.

Semalam, Perak, Sabah dan Sarawak telah dilanda banjir melibatkan ratusan mangsa terpaksa dipindah ke PPS.

Sementara itu, Fadhlina yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata KPM sebenarnya mempunyai garis panduan bahawa setiap guru yang ingin menghukum pelajar harus mempunyai dua orang saksi.

Dia berkata semua guru harus mematuhi garis panduan tersebut untuk menjatuhkan hukuman terhadap pelajar.

“Kami mempunyai garis panduan yang betul, jadi kami mahu semua pihak memastikan bahawa garis panduan itu dipatuhi,” katanya.

Fadhlina berkata demikian ketika ditanyakan mengenai cadangan badan bukan kerajaan bahawa setiap guru yang ingin menjatuhkan hukuman terhadap pelajar harus mempunyai seorang saksi.

Jumaat lepas, seorang guru sekolah rendah dilaporkan menampar pipi kiri seorang murid selepas berang tidak menemukan surat yang dikehendaki dalam kejadian di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS