Ucapan Hadi pertahan pemimpin profesional?
Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar PAS ke-53 hari ini dilihat menjurus kepada usaha "mempertahankan" pemimpin profesional bagi mengekalkan 'imej kesederhanaan' dalam parti pembangkang itu.
Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar PAS ke-53 hari ini dilihat menjurus kepada usaha "mempertahankan" pemimpin profesional bagi mengekalkan 'imej kesederhanaan' dalam parti pembangkang itu.
Dalam ucapan dasarnya di muktamar tersebut yang berlangsung di Kota Bharu,Abdul Hadi secara terbuka berkata, golongan ulama dan profesional serta aktivis parti saling memerlukan dan lengkap melengkapi untuk menjamin keutuhan jamaah dan parti.
Beberapa pemerhati politik menyifatkan ucapan tersebut jelaskan menunjukkan hasratnya supaya PAS kekal dilihat bersikap sederhana seperti sekarang, dengan adanya pemimpin golongan profesional, membantunya menerajui parti itu.
Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan penyandang jawatan naib presiden sekarang adalah dari golongan profesional. Mereka akan dicabar oleh calon-calon dari golongan ulama termasuk Datuk Harun Taib bagi jawatan timbalan presiden.
Keputusan pemilihan Muslihat PAS semalam menyaksikan penyandang jawatan ketua, Azizah Khatib Mat dan Timbalannya, Dr Lo' Lo' Ghazali, dari golongan profesional, gagal mempertahankan jawatan masing-masing. Mereka tewas kepada Nuridah Khatib Salleh dan Wan Hasrina Wan Hassan dari golongan konservatif. Lebih 70 peratus exco Dewan Pemuda pula terdiri daripada golongan ulama muda dalam parti itu.
Sehubungan itu, Abdul Hadi telah mengingatkan para perwakilan terhadap ucapan dasar presiden PAS sebelumnya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam muktamar parti itu pada 2001 di mana beliau menyentuh mengenai antara rahsia kejayaan PAS.
Fadzil, juga seorang profesional, dianggap sebagai pemimpin PAS yang berpendirian sederhana dan memainkan peranan dalam menarik ramai golongan profesional menyertai parti pembangkang itu.
Allahyarham tidak berpakaian jubah tetapi sentiasa berpakaian baju Melayu bagi mencerminkan kesederhanaan ketika memimpin parti itu. Allahyarham juga pernah muncul sepentas dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberi ucaptama mengenai masalah Palestin.
Dalam ucapannya di muktamar PAS 2001 itu, Fadzil berkata: "Penampilan imej parti yang Islamik, berwibawa dan responsif yang diterajui oleh kepimpinan ulama dan digandingi golongan profesional-intelektual dan seluruh lapisan ahli Parti".
Hapuskan batas pemisah
Menurut Abdul Hadi, dalam ucapan dasar tahun berikutnya, Fadzil menegaskan bahawa konsep kepimpinan ulama juga telah dapat menyatukan golongan ulama dan profesional serta cendikiawan Muslim, sama ada dalam parti atau di luar parti.
"Ini, kata Datuk Fadzil, sekaligus menghapuskan batas pemisah antara ulama dan cendikiawan Muslim dan membuka ruang untuk mereka mengadun ilmu dan pengalaman masing-masing bagi mencapai matlamat hingga dualisme yang memisahkan ilmu wahyu dan ilmu bukan wahyu dapat dirapatkan," katanya.
Malah, tegas Hadi, golongan berpendidikan Barat di dalam PAS adalah mereka yang merdeka daripada penyakit sekularisme yang membarah ke dalam Umno.
Oleh itu, beliau mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa mereka mesti memahami wujudnya kepelbagaian dalam PAS di semua peringkat sebagai kejayaan yang besar kepada perjuangan parti itu yang telah dipelopori oleh pejuang sebelum ini.
Abdul Hadi juga menyentuh kejayaan PAS memecah tembok pemisahan apabila berjaya mendapat sokongan secara langsung dari kalangan bukan Islam, tanpa mereka mempertikaikan segala pendekatan untuk menjadikan Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah kehidupan bernegara.
Parti Islam itu telah menubuhkan kelab penyokong PAS yang dianggotai oleh penyokong parti itu dari kalangan masyarakat Cina dan India.
Katanya, kejayaan PAS menegakkan perpaduan nasional yang sebenar adalah seperti perakuan sejarah di mana tidak berlakunya pergolakan kaum dalam peristiwa hitam 13 Mei 1969 di negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS, negeri yang kuat PAS seperti Terengganu, Kedah, Perlis dan beberapa daerah.
Ini, katanya, menandakan Islam sebenar yang diperjuangkan oleh PAS adalah contoh terbaik daripada aspek politik dalam ajaran Islam dan berbeza dengan agama yang dipolitikkan mengikut pendekatan Umno.
Hadapi cabaran
"Kejayaan Kerajaan negeri Kelantan dan juga Terengganu di masa pemerintahan PAS menunjukkan bahawa "Keadilan Untuk Semua" adalah asas perpaduan nasional yang sebenarnya," katanya.
Perpaduan, tambahnya, tidak boleh diwujudkan dengan paksaan secara merampas hak bangsa lain, tetapi ianya ditegakkan dengan hukum dan pembahagian hak yang adil kepada semua dan semangat persaudaraan kemanusian yang sebenar mengikut firahnya.
Dalam ucapan dasar yang panjang lebar itu, Abdul Hadi turut menyentuh pelbagai aspek ekonomi, sosial serta cabaran yang bakal dihadapi oleh PAS dan Barisan Alternatif dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang, khususnya mengenai daftar pemilih dan peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Sehubungan itu, beliau mahu semua jentera pilihanraya parti itu bersiap sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan sama ada ianya akan diadakan dalam masa terdekat ini, sebelum September ini, mahupun awal tahun depan ataupun sehingga tamat penggal kerajaan pada Mac 2009.
"Saya sarankan supaya semua jentera pilihanraya dan semua dewan mengambil peringatan untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan parti dan semua portfolio jentera pilihanraya parti," katanya.
Selaras dengan itu, Abdul Hadi berkata, parti itu telah mempertingkat dan mempelbagaikan keupayaan penerangannya bagi mencapai sasaran yang merentasi pembaca dan penonton yang lebih luas lagi, sama ada di segi media cetak, mahupun elektronik yang bersifat stesen TV web dan lamanweb serta blog.
"Kita mahukan supaya seluruh media kita menggarap dan medepani cabaran menyampaikan informasi dan pemberitaan yang benar, berani, telus dan pantas, tetapi tetap kreatif dan menarik.
"Kita mahupun seluruh media kita digembleng dan diselaraskan bagi menghasilkan impak yang paling berkesan dalam menangani diayah dan propaganda media arus perdana yang menyembunyikan kebatilan dan kemungkaran mereka dengan solekan Islam Hadhari yang di buai hiburan melampau," katanya.

