Feri yang membawa 472 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 4 petang semalam terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk berikutan ribut dan ombak tinggi.
Sehubungan itu, Penolong Pengurus Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Left Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata trip laluan dari Langkawi -Kuala Kedah- Langkawi pada jam 4 petang dan 7 malam tadi terpaksa dibatalkan.
“Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah menyediakan trip tambahan untuk pilihan kepada penumpang yang ingin menaiki trip laluan ke Pulau Langkawi - Kuala Perlis pada jam 7.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Norhafiz berkata trip laluan dari Kuala Kedah bagi jam 7 pagi tadi juga dibatalkan akibat cuaca buruk itu.
Katanya, ketinggian ombak lebih kurang 3.0 meter boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot kecil.
Beliau berkata penumpang yang ingin menukarkan tarikh dan masa perjalanan untuk hari berikutnya boleh berbuat demikian dan pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dialami.
- Bernama
