Proton tidak akan jatuh ke tangan asing, kata Najib
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan, sebagai syarikat negara, Proton tidak akan dibenarkan jatuh ke tangan asing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan, sebagai syarikat negara, Proton tidak akan dibenarkan jatuh ke tangan asing.
Oleh itu, katanya, rakan strategik dan usahasama Proton mesti menerima syarat yang ditetapkan.
"Kita cari rakan strategik dan gabungkan kekuatan yang ada pada Proton dan kekuatan yang ada pada rakan strategik, kita percaya Proton akan dapat kelebihan dalam persaingan yang lebih kompetitif.
"(Kerjasama itu) mesti selari dengan pemikiran dan kedudukan kita, jika tidak, perjanjian tidak boleh dijalin.
"Maknanya, kita bukan serah bulat-bulat, kita ada pendirian kita yang mesti dipenuhi bakal rakan kongsi strategik," katanya kepada pemberita di Pekan semalam.
Menurut Bernama, Proton melaporkan kerugian selepas cukai sebanyak RM619.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2007 berbanding keuntungan RM46.4 juta pada tahun sebelumnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Volkswagen AG tidak berminat terhadap cadangan Proton dari segi penyertaan ekuiti, namun pemegang utama Proton, Khazanah Nasional, menjelaskan kemudiannya bahawa rundingan dengan VW dan General Motors masih berjalan.
Najib berkata, Proton mesti mengambil langkah untuk memastikan ia kembali menjadi syarikat yang berjaya.
"Kita tidak mampu melihat ia berada dalam keadaan mengalami kerugian yang besar, walaupun persekitaran dan pasaran yang lebih kompetitif.
"Saya percaya Proton ada langkah yang sedang dilakukan untuk (mengatasi) perkara ini," katanya.

