AMK Kelantan lapor polis pengguna Facebook didakwa hina, fitnah Anwar
Pemuda PKR (AMK) Kelantan hari ini tampil membuat satu laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina dan memfitnah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketuanya Ezzat Zahrin Hanuzi berkata kejadian itu disedarinya pada 24 Sept lalu kira-kira jam 11 pagi melalui rakaman video Anwar menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York.
Menurutnya rakaman itu disiarkan melalui laman Facebook Astro Awani dan dia mengesan wujudnya komen facebook yang jelik dan bersifat fitnah.
”Kandungan hantaran komen tersebut secara verbatim berbunyi, ‘peliwat, perasuah, pembohong baca khutbah’.
“Sebagai rakyat Malaysia dan mewakili AMK Kelantan, saya percaya bahawa kenyataan yang dibuat itu jelas mempunyai elemen jenayah iaitu penghinaan dan fitnah terhadap perdana menteri Malaysia,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu Ezzat membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, kira-kira jam 3.45 petang.
Menurutnya, AMK Kelantan percaya bahawa hantaran komen tersebut juga boleh menyebabkan suasana yang tidak harmoni, perpecahan dan mampu menganggu-gugat kestabilan negara selain mampu mendatangkan kebencian atau penghinaan bagi membangkit rasa tidak setia terhadap kerajaan.
“Justeru itu, kami mohon siasatan dan tindakan lanjut yang tegas dibuat ke atas pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/02d47b4a6f3521e7bd180abc52c274f3.jpg)
