Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertemuan memilukan antara Aimah dengan anak perempuannya

Selama dua tahun, seorang ibu berketurunan Bajau Laut yang tidak memiliki kewarganegaraan merasa bimbang tidak akan bertemu dengan anaknya lagi.

Dilahirkan secara pramatang, bayi berkenaan didakwa diambil tanpa kebenarannya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Pada 18 Sept, tiga hari selepas Malaysiakini mengetengahkan kisahnya dalam laporan eksklusif mengenai ibu-ibu tanpa kewarganegaraan yang kehilangan anak-anak mereka, dia dipertemukan kembali dengan anak perempuannya itu.

Namun, pertemuan itu berubah menjadi episod memilukan.

Ibu yang mempunyai enam anak itu terpaksa berpisah dengan anaknya sekali lagi setelah mengetahui anaknya menghidap penyakit jantung dan tidak akan mampu menanggung kos perubatan untuk merawat penyakit tersebut.

"Saya dengan rela memberikan hak jagaan anak saya kepada ibu bapa angkat kerana saya tidak mahu anak saya mati," kata ibu itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Aimah, kepada Malaysiakini.

"Anak saya mempunyai jantung berlubang, dan jika saya ambil anak saya kembali, saya tidak akan mampu menanggung kos rawatan," tambahnya.

Aimah, yang kali terakhir melihat anaknya ketika bayi tersebut pulih di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) pada Sept 2021, memeluk erat anaknya seketika semasa pertemuan mereka.

"Saya bersyukur jika anak saya hidup lama, tetapi walaupun jika dia tidak hidup lama, saya akan terus bersyukur kepada Allah," katanya.

Tiada laporan perubatan diserahkan kepada Aimah atau suaminya yang mengesahkan penyakit anak tersebut.

Sementara itu, ibu bapa angkat bayi berkenaan yang merupakan warganegara Malaysia tidak akan dapat memberikan kewarganegaraan kepada anak tersebut dan mungkin perlu menanggung yuran yang tinggi untuk menjalani rawatan.

Bagaimanapun, semasa perjumpaan tersebut, dimaklumkan bahawa rawatan akan diberikan percuma jika bayi tersebut dirawat di hospital Lahad Datu.

Sebagai respons terhadap perkembangan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan anak Aimah ditempatkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Kementerian tersebut mendakwa pegawai perlindungan kanak-kanak dalam kes ini telah mengikuti Peraturan-peraturan Kanak-Kanak (OYLS Pindaan 2017 ).

“Namun demikian, kes yang dikendalikan ini perlu melalui proses Garis Panduan Pengurusan Penempatan Kanakkanak kepada Ibu Bapa Pemeliharaan dan Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) terkini sebagai tambahan," demikian kenyataan tersebut.

Menurutnya, PKD juga diarah mengemaskini dokumentasi dan menambahbaik fail-fail kes agar kes kanak-kanak ini didokumentasikan secara teratur.

Pada 20 Sept lalu, kementerian itu mengeluarkan kenyataan yang dipercayai merujuk kepada Aimah.

Kementerian itu menyifatkan es tersebut sebagai kes "lama" yang telah diselesaikan selepas ibu berkenaan menolak tawaran untuk mendapatkan hak jagaan anaknya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS