Kira-kira 300 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keturunan India telah meninggalkan parti itu sepanjang tempoh seminggu lalu sebagai tanda sokongan mereka kepada ahli perniagaan, Datuk S Nallakaruppan.

Mereka termasuk beberapa pemimpin tinggi parti itu di peringkat cawangan PKR.

"Rabu lalu, kira-kira 200 ahli India dari Seremban telah secara rasmi menghantar surat keluar parti," kata bekas timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) RS Dinesh kepada malaysiakini .

Dinesh adalah antara kumpulan pemimpin pertama dari sembilan negeri yang keluar parti bersama Nallakaruppan pada 25 Mei lalu.

"Dan ramai lagi ahli dari seluruh negara telah menyatakan hasrat mereka untuk menurut jejak langkah Datuk Nallakaruppan keluar parti," kata seorang lagi bekas pemimpin PKR, P Krishnasamy.

Krishnasamy adalah pemimpin paling kanan yang keluar parti bersama Nallakaruppan. Beliau adalah bekas ketua penerangan PKR Selangor dan ketua cawangan Klang.

Kira-kira 80 ahli PKR keturunan India dari Klang turut meninggalkan parti itu bersama Krishnasamy.

"Kita telah menerima maklumbalas dari ahli keturunan India dari merata tempat yang bersedia keluar parti dan menurut apa sahaja yang bakal dilakukan oleh Nallakaruppan," kata Krishnasamy yang kini menjadi setiausaha Nallakaruppan.

'Beri beliau masa...'

Bekas timbalan ketua PKR cawangan Segambut, S Maniselva - seorang lagi penyokong kuat Nallakaruppan - berkata, ahli PKR keturunan India kini menunggu langkah Nallakaruppan seterusnya.

Katanya, Nallakaruppan telah menemui penyokongnya di Selangor and Melaka sejak minggu lalu dan akan pergi ke seluruh negara untuk tujuan yang sama.

"Mereka ingin tahu langkah beliau seterusnya, tetapi beliau telah meminta mereka supaya bersabar. Beliau memberitahu mereka bahawa langkah beliau seterusnya adalah untuk kepentingan masyarakat India," kata Maniselvan.

"Kami menjangka lebih ramai ahli India dalam PKR akan keluar parti itu sebaik sahaja beliau mengumumkan rancangan masa depan politiknya.

"Bagaimanapun, saya fikir kita tidak harus memaksanya membuat keputusan secara tergesa-gesa. Berilah beliau masa untuk membuat keputusan dan kita harap keputusannya itu nanti adalah untuk kepentingan masyarakat kita," kata Maniselvan, yang menyertai PKR sejak 1999.

Sokongan akar umbi

Nallakaruppan, 61, mengumumkan keluar PKR pada 25 Mei lalu kerana mendakwa ahli-ahli keturunan India dalam parti itu telah dipinggirkan.

Beliau juga mendakwa, rakan karibnya yang juga penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah 'mempermainkannya' sewaktu pilihanraya kecil Ijok dan juga semasa pemilihan parti itu baru-baru ini.

Ketika dihubungi hari ini, Nallakaruppan berkata, beliau sedang mengumpulkan maklumbalas dari para penyokongnya dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

"Saya terharu dengan sokongan ahli akar umbi. Mereka berkata akan tetap bersama saya tidak kira apa juga keputusan yang akan saya ambil. Saya amat menghargainya," katanya.

Ditanya apakah rancangannya dalam masa terdekat ini, Nallakaruppan berkata, semuanya akan diumumkan tidak lama lagi.