'Umno lebih demokratik berbanding PAS'
Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor menyifatkan partinya lebih demokratik berbanding PAS.
Ini selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan tiada pertandingan berlangsung untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden parti itu.
"Tentunya Umno lebih demokratik apabila hanya dua jawatan utama (presiden dan timbalan presiden) sahaja yang tidak dipertandingkan sebelum ini.
"Jawatan tiga naib presiden tetap dibuka untuk pemilihan, tidak seperti PAS yang terus menutup ruangnya," katanya.
Noor Hariri turut menyorot bahawa dalam tempoh 20 tahun, PAS mempunyai presiden yang sama sementara Umno sudah mempunyai tiga presiden yang berbeza.
"Ternyata Umno lebih demokratik dan mendengar suara akar umbi berbanding PAS," tambahnya.
Semalam, Takiyuddin berkata presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden PAS akan kekal memegang jawatan dan pemilihan parti itu hanya akan mempertandingkan jawatan ahli jawatankuasa Pusat.
Ini bermakna Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai presiden PAS untuk tahun tahun ke-21, selepas menggantikan Allahyarham Fadzil Noor pada 2002.
Ketika ini jawatan timbalan presiden disandang Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala tiga jawatan naib presiden diisi oleh Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.
PAS akan mengadakan muktamar tahunan mereka di Shah Alam pada 20 hingga 22 Okt ini. Kali terakhir PAS mengadakan pemilihan ialah pada 2021.
/file/1291/a225b601127730853003cb216596dccd.jpeg)
