PAS letak calon di kawasan tidak ditandingi pembangkang
PAS tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang dan akan meletakkan calonnya di kawasan yang tidak ditandingi parti pembangkang yang lain.
PAS tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang dan akan meletakkan calonnya di kawasan yang tidak ditandingi parti pembangkang yang lain.
Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Jawatankuasa Pilihanraya Pusat (JPP) telah membuat kajian terhadap semua aspek mengenai pilihanraya umum akan datang.
"Arahan telah dikeluarkan kepada semua peringkat, terutama bahagian PAS di seluruh negara. Senarai nama calon telah diminta dan setakat ini banyak yang diperolehi.
"Senarai nama ini akan ditentukan oleh Majlis Syura sebelum diputuskan untuk bertanding," katanya dalam ucapan penggulungan dalam Muktamar PAS di Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini.
Mustafa berkata, antara kriteria utama calon pilihanraya PAS ialah tidak melakukan dosa besar serta tidak mengekalkan dengan sengaja dosa kecil.
"Ciri-ciri tambahan ialah calon yang lebih mudah untuk menang, iaitu mempunyai ramai kawan dan saudara mara di kawasan yang ditandinginya," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden, Datuk Hasan Ali mengesyorkan sistem pemilihan jawatan dalam parti sekarang digantikan dengan sistem syura bagi mengelak perpecahan dalam parti.
Pemilihan jawatan
"Kalau dulu mesra kini tidak mesra, kalau dulu boleh bersalam kini tidak mesra. Setiap dua tahun sekali, perkara yang tidak elok ini berlaku (kerana ada pemilihan jawatan).
"Oleh itu saya syor supaya jawatan nombor satu, nombor dua dan nombor tiga umpamanya, ditentukan oleh Majlis Syura. Saya kira ini cara terbaik untuk parti kita dan mengapa ia tidak dipratikkan," katanya.
Dr Hasan berkata, asas pemilihan jawatan dalam PAS bukan setakat kelayakan akdemik, tetapi turut mengambilkira penglibatan mereka dalam parti.
"Lagi banyak ditangkap polis, lagi banyak kredit untuk dirinya. Ini supaya pemimpin lebih aktif," katanya lagi.
Dr Hasan berkata, beliau menyertai PAS kerana dasar kepimpinan ulamanya dan bukannya kerana kepimpinan profesional atau kepimpinan lain dalam parti.
Bagaimanapun, katanya, beliau sedih kerana sejak menyertai PAS, ada pihak tertentu yang melabelkan dirinya sebagai sekular sedangkan dirinya berasal dari keluarga ulama dan mendapat pendidikan agama sejak kecil lagi.
"Saya baca khutbah Jumaat sejak umur 16 tahun lagi, saya pernah baca khutbah di Masjid Negara dan masjid negeri. Saya sedih dengan tuduhan ini," katanya.
Berikutan itu, Dr Hasan mahu semua pihak dalam parti supaya menentang habis-habisan sekularisme dalam PAS kerana parti itu sendiri menentang sekularisme.

