Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ceramah tak dapat sambutan, tapi tak bermakna PN lemah’

Calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat mengakui ceramah parti itu di Pelangai kurang mendapat sambutan memandangkan kawasan itu kubu kuat Umno.

Meskipun begitu Kasim ataupun lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim tidak melihat kempen PN lemah, sebaliknya dia selesa berkempen dari rumah ke rumah.

"Saya tidak lihat kempen PN agak lemah, tetapi kaedah pergi ke rumah-rumah adalah lebih baik. 

"Apabila kita buat seperti ceramah, ceramah kelompok saya tidak yakin  ramai masyarakat tempatan yang hadir. Sebab kawasan ini dikenali sebagai kubu kuat Umno.

"Untuk munculkan diri mereka dalam aktiviti besar sebegini, (mereka) segan," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Felda Chemomoi, dekat Bentong semalam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan ceramah PN di Pelangai yang merupakan kubu kuat BN gagal mendapat sambutan masyarakat.

Ceramah PN di Felda Chemomoi yang dihadiri Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada 23 Sept lalu menyaksikan banyak kerusi kosong.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Begitu juga malam kelmarin, Pentas Anak Muda PN yang diadakan di Dataran Purnama, Simpang Pelangai hanya dihadiri hampir 200 orang.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya,  Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada  17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum lalu allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim  yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Hadirin ceramah PN pada 24 Sept 2023

Sementara itu, Kasim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim mendakwa sambutan yang diterimanya ketika kempen kali ini sangat luar biasa.

Ia berbeza dengan sambutan diterimanya pada kempen pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan beliau tewas.

"Penerimaan masyarakat sangat positif yang saya kira sangat luar biasa, berbanding ketika saya bertanding dalam PRU15 yang lepas," katanya lagi.

Tumpuan kempen Cikgu Kasim kini yang berbaki beberapa hari lagi akan tertumpu di kawasan pengundi bukan Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS