Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu beras: K'jaan akan bertiwikrama ringankan beban rakyat - PM
Diterbitkan:  Oct 2, 2023 8:50 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan bertiwikrama atau berusaha sedaya upaya meringankan beban rakyat dalam isu kenaikan harga beras.

Kata Anwar, dia telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu bagi mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.

"Saya beri jaminan kerajaan tidak berpeluk tubuh, sebaliknya akan bergerak dengan segenap akal, bertiwikrama untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras global ini.

"Ini termasuklah menerusi beberapa langkah intervensi yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga beras putih import (BPI) dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan (BPT) di pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anwar, Kerajaan Perpaduan prihatin akan isu semasa khususnya apabila rakyat ingin mendapatkan jaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan harga beras putih import (BPI).

Namun jelasnya, fenomena kenaikan harga beras ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut melibatkan negara serantau susulan tindakan 19 buah negara yang telah menghadkan eksport beras untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.

"Kendatipun, saya amat peka dan mendengar segala keluh kesah yang dibangkitkan rakyat ekoran kenaikan harga BPI di pasaran ekoran kenaikan harga beras global,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamad dalam sidang media khas berkata perdana menteri bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Antara langkah itu adalah mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit, dengan kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA.

Mohamad berkata kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Okt di Sabah dan Sarawak.

Katanya langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.

Lihat Komen
ADS