Keputusan Kabinet menukar istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia adalah untuk mengelakkan polemik, selain bagi menunjukkan bahasa itu milik semua kaum, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita tahu Bahasa Kebangsaan itu merupakan Bahasa Melayu, tetapi kita nak bahasa itu dijadikan bahasa kepada semua rakyat Malaysia, tidak kira keturunan, kumpulan etnik dan sebagainya.

"Kita anggap Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik kita semua, itulah rasionalnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Sedunia ke-3 di Kuala Lumpur

Menurut Bernama, beliau diminta mengulas laporan muka depan akhbar The Star hari ini bahawa Bahasa Malaysia akan dijadikan istilah rasmi bagi bahasa kebangsaan.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin dilaporkan berkata keputusan sebulat suara itu dibuat Kabinet April lalu memandangkan ia bakal menanamkan semangat bahasa kebangsaan milik semua tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi yang lain telah diarahkan supaya memaklumkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah Bahasa Malaysia dalam surat-menyurat, notis dan dokumen, berkuatkuasa serta merta.

Istilah Bahasa Malaysia diperkenalkan Bapa Kemerdekaan iaitu Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman selepas negara mencapai kemerdekaan sebagai langkah menanam identiti Malaysia.

Ia digunapakai secara meluas sehinggalah 1986 apabila ditukar kepada istilah Bahasa Melayu, kata Zainuddin.

Beliau berkata RTM sudah mula menggunakan istilah Bahasa Malaysia untuk merujuk kepada bahasa Melayu dan mengarahkan semua stesen televisyen dan radio swasta serta suratkhabar supaya turut menggunakannya.