Budaya taksub melampau ahli PAS kepada pemimpin parti adalah punca tiada pertandingan pemilihan bagi lima jawatan tertinggi, kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.
Bagaimanapun, ketaksuban melampau itu, katanya boleh menyebabkan PAS berpecah.
“PAS teramat bangga kerana lima jawatan utama tiada pertandingan. PAS mendabik dada ia adalah parti paling stabil.
“Sebenarnya budaya taksub pada pemimpin jadi punca kenapa tidak ada siapa yang berani bertanding lima jawatan teratas itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatkan di Facebook.
Mengulas kenyatan, bahawa tiada pertandingan untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden parti pada Muktamar Tahunan ke-69 PAS, Puad berkata, ketaksuban ahli mereka kini adalah pada tahap tinggi.
Katanya, mereka percaya bahawa kejayaan gelombang hijau semasa Pilihan Raya Umum ke-15, tahun lalu dan enam pilihan raya negeri pada Ogos lalu adalah kerana kehebatan luar biasa lima pemimpin teratas berkenaan.
“Mereka jadi takut untuk menyanggah lima orang tersebut. Takut dituduh kacau daun dan menentang Islam. Taksub mereka melampaui batas.
“Apa tidaknya pemimpin mencarut, celupar, kuat bohong dan tidak konsisten ditaati membabi buta. Sampai masanya, nanti PAS akan pecah,” kata Puad lagi.
Dengan tiadanya pertandingan bagi jawatan presiden, Abdul Hadi Awang akan kekal menerajui PAS untuk tahun ke-21. Dia mula mengetuai PAS selepas Allahyarham Fadzil Noor meninggal dunia pada 2002.
Ketika ini jawatan timbalan presiden disandang Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala tiga jawatan naib presiden diisi oleh Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.
Idris merupakan ahli parlimen Bagan Serai dan pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala Mohd Amar kini berkhidmat sebagai speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Bagaimanapun beberapa penganalisis politik yang dihubungi Malaysiakini berkata, ketiadaan pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS merupakan langkah parti itu dalam mengelak mudarat yang berkemungkinan boleh mencetuskan krisis dalaman.
Bagi pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, secara tradisi jawatan tertinggi PAS tidak ditandingi melainkan berlaku situasi luar biasa.
Bagi pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, secara tradisi jawatan tertinggi PAS tidak ditandingi melainkan berlaku situasi luar biasa.
Penganalisis politik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza) Dr Hussain Yusri Zawawi pula berpandangan, tidak timbul soal dakwaan PAS tidak demokratik susulan tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi parti itu dalam muktamar yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Katanya, ini kerana terdapat penarikan diri daripada beberapa pemimpin yang dicalonkan sebagai naib presiden.