Menteri digesa jelaskan mengapa projek Smart gagal cegah banjir
Menteri Kerja Raya dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar digesa memberi penjelasan mengapa Projek Jalan Terowong dan Pengurusan Air Banjir (Smart) gagal mencegah banjir kilat di ibu negara.
Menteri Kerja Raya dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar digesa memberi penjelasan mengapa Projek Jalan Terowong dan Pengurusan Air Banjir (Smart) gagal mencegah banjir kilat di ibu negara.
Ketika membuat gesaan tersebut, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham berkata Kuala Lumpur semalam dilanda banjir kilat yang teruk sehingga menyebabkan banyak kawasan di sekitar Sungai Besi ditenggelami air sedalam 0.9 meter akibat banjir kilat.
Beribu-ribu kenderaan, katanya, terperangkap dalam kesesakan lalulintas dan 180 daripada 60 keluarga di Kampung Sri Indah di sekitar Jalan Sungai Besi, terpaksa dipindahkan ekoran banjir kilat itu.
Badrul Hisham juga menuntut agar kerajaan menanggung semua kerugian yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terjejas.
"Kejadian ini seharusnya tidak berlaku kerana kerajaan memberi jaminan dengan siapnya Projek Smart yang bernilai RM2 billion ini, masalah banjir di ibu negara dapat di atasi," tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
"RM2 billion dibelanjakan untuk projek itu, malah pihak pengendali projek juga diberikan hak untuk mengutip tol ke atas kenderaan yang menggunakan terowong tersebut sehingga 2042," tambahnya.
Badrul Hisham, berdasar yang telah berlaku, ternyata projek tersebut ternyata gagal.
"Menteri Kerja Raya dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang sibuk mempertahankan projek ini yang dari awal lagi penuh dengan kontroversi dan bantahan, perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan kegagalan projek ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan projek tersebut sebagai satu pembaziran wang rakyat kerana rakyat masih menderita dan mengalami kerugian akibat masalah banjir yang lebih buruk daripada sebelumya.

