Peguam bagi salah seorang tertuduh dalam kes perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, menarik diri hari ini kerana mendakwa berlaku campurtangan dalam kes tersebut.

Zulkifli Noordin berkata, beliau tidak boleh lagi mewakili tertuduh Cif Inspektor Azilah Hadri.

Zulkifli memberitahu pemberita, beliau yakin anak guamnya tidak bersalah tetapi katanya, dalam membuat persediaan untuk kes tersebut, beliau mendapati fakta-fakta tertentu yang boleh menjejaskan kemampuan untuk terus mewakili Azilah.

Beliau mendakwa, terdapat percubaan serius dari pihak ketiga untuk campurtangan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Azilah dan seorang lagi anggota polis Sirul Azhar Umar, 35, menghadapi tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu, 28. Abdul Razak Baginda dituduh bersubahat dengan mereka.

Ketiga-tiga tertuduh berdepan dengan hukuman mati jika didapati bersalah.

Altantuya, adalah kekasih Abdul Razak, seorang penganalisa politik yang mempunyai kaitan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Abdul Razak. Najib bagaimanapun telah menafikan sekeras-kerasnya terbabit dalam kes tersebut.

Pertemuan

Perbicaraan mereka dijadualkan bermula hari ini tetapi telah ditangguhkan kepada 18 Jun ini selepas pasukan pendakwaraya yang baru ditugaskan mengendalikan pendakwaan kes tersebut.

Dalam afidavit dan kenyataannya kepada polis, Abdul Razak yang mengetuai Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia berkata, beliau diperkenalkan kepada Altantuya di Hong Kong pada akhir 2004.

Menurut bapa Altantuya Shaariibuu Setev anaknya itu adalah seorang guru terlatih dan seorang jurubahasa yang fasih dalam berbahasa Inggeris, Rusia dan Cina.

Pasangan tersebut mengadakan pertemuan di Hong Kong, Shanghai, Singapura, Kuala Lumpur and Perancis. Menurut Abdul Razak mereka berpisah pada sekitar bulan Ogos 2005.

Altantuya dibunuh Oktober lalu dan cebisan mayatnya ditemui diletupkan di kawasan hutan di Shah Alam.

Abdul Razak memeluk ibunya dan menitis air mata ketika dia masuk ke dalam bilik mahkamah. Dia juga turut memeluk anak perempuannya sebelum perbicaraan bermula.

Ketika perbicaraan bermula, Najib merasmikan satu persidangan pelancongan global di Kuala Lumpur. Beliau enggan mengulas mengenai perbicaraan tersebut. AFP Berita asal