JPA: 100,000 jawatan belum diisi
Kira-kira 100,000 jawatan kosong dalam perkhidmatan awam masih belum diisi, kebanyakannya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
Kira-kira 100,000 jawatan kosong dalam perkhidmatan awam masih belum diisi, kebanyakannya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
Jumlah kekosongan jawatan itu begitu tinggi kerana kerajaan amat memerlukan khidmat doktor, doktor gigi, ahli farmasi dan guru, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.
"Sesetengah kekosongan wujud kerana ia hanya boleh diisi melalui kenaikan pangkat.
"Sekiranya tidak ada calon yang layak untuk mengisinya, maka ia akan terus kosong sehinggalah calon yang sesuai dinaikkan pangkat," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam.
Beliau menafikan tuduhan DAP bahawa JPA mewujudkan banyak jawatan semata-mata untuk memberi pekerjaan kepada lebih 60,000 siswazah menganggur di negara ini, demikian menurut laporan Bernama.
"Kenyataan itu tidak betul. Kami ambil kakitangan awam berdasarkan kepakaran, kemahiran dan pengetahuan mereka serta beberapa faktor lain.
"Setiap suruhanjaya perkhidmatan mempunyai proses sendiri yang ketat bagi menapis kakitangan yang berpotensi.
Tiada arahan
"Kami tidak pernah terima sebarang arahan daripada kerajaan supaya mewujudkan lebih banyak jawatan semata-mata untuk memberi pekerjaan kepada siswazah menganggur," katanya.
Katanya, ada pihak berkata penggunaan kaedah automasi membolehkan kerajaan mengurangkan jumlah kakitangan perkhidmatan awam yang kini berjumlah lebih sejuta orang.
Bagaimanapun, tegasnya, sesetengah sektor tidak boleh beroperasi dengan menggunakan kaedah automasi semata-mata.
"Sesetengah tugas dalam sektor kesihatan dan pendidikan tidak boleh dilaksanakan melalui kaedah automasi... begitu juga sesetengah bidang dalam sektor pertanian... kami mungkin boleh kurangkan sedikit dalam bidang pentadbiran, tapi tidak lebih daripada itu.
"Kalau mahu perkhidmatan yang baik, tetapi jumlah orang yang menyediakannya tidak boleh ramai, saya rasa ia memang sukar dilaksanakan," kata Ismail.
Beliau juga meminta kakitangan awam yang akan menikmati kenaikan gaji antara 7.5 peratus dan 35 peratus mulai Julai ini supaya bekerja dengan tekun, pintar dan memperbaiki kualiti perkhidmatan masing-masing.
Ismail berkata, ada pihak menyarankan agar kakitangan awam menambah waktu bekerja berikutan kenaikan gaji yang mereka terima.
Pentingkan kualiti
Tetapi, katanya, memanjangkan tempoh bekerja tidak semestinya produktiviti juga akan bertambah.
"Mereka perlu pentingkan kualiti... apa gunanya duduk dipejabat lama-lama, tapi kerja tidak siap. Kita kena bekerja secara pintar... dan produktif," katanya.
Beliau juga menasihati kakitangan kerajaan supaya menggunakan wang kenaikan gaji secara berhemat dan tidak terperangkap dengan hutang kerana membeli barangan yang tidak diperlukan atau menggunakan kad kredit.
"Perkhidmatan awam hanya membenarkan 60 peratus daripada gaji mereka dipotong bagi membayar hutang luar. Anda boleh bawa pulang baki 40 peratus lagi.
"Sekiranya kami dapati seseorang kakitangan awam melanggar syarat ini, kami boleh ambil tindakan terhadapnya," kata Ismail.
Beliau berkata, kakitangan awam dibenar membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja atau berniaga bagi menambah pendapatan.
Bagaimanapun, tambahnya, jenis kerja atau perniagaan yang mereka ceburi perlulah dimaklumkan kepada ketua jabatan.
"Kami benarkan mereka buat kerja luar, tapi ada hadnya. Pastikan ia tidak mengganggu tugas anda di pejabat... ini penting," kata Ismail.

