Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Calon PN, Kasim Samat antara pengundi terawal yang menunaikan tanggungjawab pada PIlihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai hari ini.

Dia yang lebih dikenali sebagai cikgu Kasim tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi yang merupakan salah satu pusat pengundian pada jam 8.20 pagi.

Dua lagi calon iaitu calon BN Amizar Abu Adam dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli bukan pengundi di DUN Pelangai.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kasim berkata dia yakin memiliki peluang untuk memenangi kerusi berkenaan hari ini.

Menurut bekas guru itu, dia yakin peratusan keluar mengundi yang tinggi akan membantu kemenangannya.

"Antara 65-75 peratus jangkaan (akan keluar mengundi hari ini),” katanya sambil menambah 75 peratus peratusan keluar mengundi sudah memadai untuknya menewaskan Amizar dan Haslihelmy.

Dalam pada itu Kasim juga secara tidak sengaja berkempen untuk dirinya semasa ditemubual pemberita.

"Warga Pelangai yang masih dalam perjalanan atau masih di rumah jauh di perantauan, ada masa lagi untuk balik

"Masih sempat lagi untuk balik. Berhati-hati di jalan raya. Jangan lupa calon nombor 1, PN Cikgu Kasim,"katanya sebelum seorang wartawan menegurnya dengan mengatakan dia tidak dibenarkan berkempen selepas tempoh berkempen tamat tengah malam tadi.

"Oh, tak boleh eh?" katanya sambil tersenyum kelat sebelum meminta wartawan memandamkan kenyataannya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS