Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Jepak: PKR sah tak bertanding, bekas polis jadi calon PBK
Diterbitkan:  Oct 9, 2023 9:50 AM
Dikemaskini: 1:53 AM

PKR sah tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Jepak yang dijadualkan 4 Nov depan.

Kepimpinan PKR Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat bulan lalu dan telah dimaklumkan kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

“Keputusan tersebut telah dibuat oleh PKR Sarawak pada mesyuarat 25 Sept lepas demi perpaduan dan kestabilan politik negara serta menghormati mandat rakyat kepada Gabungan Parti Sarawak di Jepak pada pilihan raya negeri 2021,” kata PKR Sarawak.

Penyandang kerusi DUN berkenaan, Talib Zulpilip, dari Parti Bumi Pesaka Bumiputera, menang di kerusi tersebut pada 2021 dengan memperoleh 69.4 peratus undi popular.

Pakatan Harapan tidak bertanding pada pilihan raya itu. Dua parti pembangkang - Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu menyertai pilihan raya itu dan kemudian bergabung dengan GPS.

Setakat ini hanya PBK menyatakan hasrat untuk meletakkan calon di Jepak.

PBK akan mempertaruhkan bekas anggota polis Stevenson Joseph Sumbang, 42, sekali lagi sebagai calon.

Pada pilihan raya 2021, Steven tewas di kerusi berkenaan dan hilang wang deposit.

Pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuching pada 5 Okt lalu, Stevenson yang dilahirkan di Sibu berkata dia memahami isu di kawasan Jepak.

Menurutnya, kempennya akan tertumpu kepada isu pendidikan, kewarganegaraan dan hak tanah anak negeri.

Lihat Komen
ADS