Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyelar kenyataan pendakwah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani yang menuduh majlis agama itu berbohong berhubung isu penarikan balik tauliah mengajarnya di negeri itu.

Mais dalam satu kenyataan malam ini menjelaskan bahawa larangan "aktivis politik" sebagai pemegang tauliah tidak terhad kepada individu yang memegang jawatan dalam parti politik.

"Larangan ini juga merangkumi mereka yang menjalankan apa-apa aktiviti yang secara jelas mengajak dan mempengaruhi masyarakat untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap fanatik terhadap sesuatu parti politik serta berpuak-puak di kalangan masyarakat Islam.

"Daripada siasatan yang dibuat dan pengesahan tapisan pihak Polis Diraja Malaysia, Mais mendapati bahawa penceramah Ahmad Dusuki tergolong dalam aktivis yang dimaksudkan tersebut," kata Mais.

Ahmad Dusuki, yang merupakan presiden pertubuhan Geng Ustaz dan pernah menjawat jawatan dalam PAS, semalam mendakwa Mais berbohong berhubung isu penarikan balik tauliah terhadapnya untuk mengajar agama Islam di negeri itu.

Ini selepas Mais memaklumkan keputusan itu dibuat kerana status keaktifannya dalam parti politik.

"Sepatutnya majlis agama Islam bukan menjadi pemecah belah umat, atau menjadi ejen kepada gerakan liberal.

“Tiada jawatan yang saya sandang dalam parti politik pun dituduh aktivis politik?" kata Ahmad Dusuki.

Dalam kenyataan sama hari ini, Mais menyifatkan kenyataan reaksi balas Ahmad Dusuki sebagai berunsur fitnah.

Mais juga menjelaskan bahawa larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama Islam adalah bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan medan dakwah dan pengajaran agama Islam sebagai gelanggang politik.

"Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak berlakunya penyebaran propaganda politik yang berunsur firnah dan kebencian kerana ia menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam masyarakat Islam," katanya.

Mais juga menafikan dakwaan yang menyifatkan larangan itu sebagai sekatan terhadap dakwah dan pengajaran agama Islam di Selangor.

Kata Mais, larangan itu merupakan langkah preventif bagi memastikan dakwah agama Islam disampaikan oleh pemegang tauliah yang tidak bersikap partisan dan memunyai kepakaran serta pengetahuan.

Terdahulu Mais dilaporkan meneruskan tindakan terhadap Ahmad Dusuki selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Keputusan Mais itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ahmad Dusuki yang telah dikeluarkan badan itu sebelum ini.

Pengerusinya, Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Mais menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober lalu, namun keputusan itu tidak menyentuh titah Sultan Selangor mengenai larangan aktivis politik mengajar agama Islam.