PSM gesa kjaan luluskan segera pendaftarannya
Kongres kesembilan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berlangsung di Port Dickson hujung minggu lalu, meluluskan sebelas resolusi, termasuk gesaan supaya pendaftaran parti itu diluluskan segera.
Kongres kesembilan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berlangsung di Port Dickson hujung minggu lalu, meluluskan sebelas resolusi, termasuk gesaan supaya pendaftaran parti itu diluluskan segera.
Dalam satu kenyataan hari ini, PSM menyifatkan kegagalan kerajaan mendaftarkan PSM sebagai satu konspirasi politik untuk meminggirkan golongan sosialis daripada berkecimpung secara aktif dalam proses politik dan demokrasi.
Dalam satu lagi resolusi, PSM menyatakan kekecewaannya kerana Akta Gaji Minima tidak dilaksanakan oleh kerajaan.
"Kegagalan ini menunjukkan ia sudah hilang kredibiliti dan kewibawaan politik untuk menyelesaikan isu pekerja secara ikhlas," katanya.
Selaras dengan itu, PSM menyokong penuh cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk mengadakan mogok sehari jika akta gaji minima ini tidak dilaksanakan dan menuntut kerajaan menghapuskan serta merta dasar gaji murah.
PSM juga membantah pindaan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengurangkan jumlah caruman untuk pekerja migran dan pekerja warga emas.
Pekerja migran
"PSM membantah segala pindaan untuk melonggarkan Akta Pekerjaan dan membantah segala bentuk polisi yang mendiskriminasi pekerja migran di Malaysia. Pada masa yang sama, PSM menuntut pengiktirafan kesatuan sekerja secara automatic," katanya.
Selain itu, PSM juga membantah rancangan untuk mempromosikan 'health tourism' kerana sektor kesihatan tidak patut dikomersialkan kerana tindakan sedemikian akan terus melemah dan memkompromi kualiti hospital kerajaan dan menyusahkan rakyat biasa.
Selain membantah kenaikan harga barangan asas dan kenaikan harga barang kawalan, PSM juga menuntut supaya penswastaan air, elektrik dan pembetungan, dimiliknegarakan kerana pengwastaan perkhidmatan awam membebankan rakyat.
Mengenai badan kehakiman, PSM berpendapat badan itu mesti menghormati dan melindungi hak rakyat dan mengiktiraf hak peneroka bandar.
"PSM membantah segala bentuk pengusiran paksa terhadap peneroka bandar dan mengutuk penggunaaan Akta Darurat Pembersihan Setinggan dan menuntut akta ini dimansuhkan bersama dengan akta-akta darurat yang lain," katanya.
Mengenai pilihanraya, PSM menyeru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihanraya umum secara bersih dan telus dan menunaikan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
Bantah FTA
"PSM juga menuntut pilihanraya kerajaaan tempatan dikembalikan. PSM menuntut politik perkauman dimansuhkan dan semua calon yang bertanding dalam pilihanraya mesti mengisytiharkan harta sebelum bertanding," katanya.
Mengenai wanita, PSM meluluskan resolusi membantah segala dasar mendiskriminasi dan menghina kaum wanita dan menggesa supaya satu kempen kesedaran umum dijalankan untuk mendidik rakyat mengenai pendidikan gender dan kesaksamaan.
PSM juga mahukan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimansuhkan kerana ia dimulakan secara tergesa-gesa tanpa rundingan awam, membazir wang dan banyak masalah dan kelemahan program ini tidak dapat diselesaikan, malah semakin bertambah.
Mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), PSM menuntut Malaysia memberhentikan rundingan dengan Amerika dan Kesatuan Eropah serta menyokong perjuangan rakyat di seluruh dunia yang menentang polisi neoliberal dan kapitalis antarabangsa.
PSM juga menuntut Amerika mengundurkan tenteranya dari Iraq dan Afganistan serta tutup pangkalan tenteranya di seluruh dunia.
"PSM membantah sebarang langkah pemerintah untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia akan membebankan golongan rakyat biasa dan pada masa yang sama mengurangkan cukai untuk golongan kapitalis dan korperat," katanya.

