Pertukaran istilah kepada bahasa Malaysia tidak memadai, kata Syed Husin
Tindakan kerajaan menukarkan istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia sebagai elemen perpaduan antara kaum, tidak akan menyelesaikan polemik perpaduan di negara kita, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali.
Tindakan kerajaan menukarkan istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia sebagai elemen perpaduan antara kaum, tidak akan menyelesaikan polemik perpaduan di negara kita, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali.
Menurutnya, yang penting ialah kedaulatan bahasa mesti menjadi keutamaan di samping perlunya kestabilan dasar politik dan ekonomi untuk menjamin perpaduan yang utuh.
"Apakah dengan hanya menukar istilah kepada Bahasa Malaysia maka secara automatik akan meningkatkan keyakinan rakyat atas perpaduan kaum?" soalnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Biro Penerangan PKR hari ini.
Menurut Syed Husin, elemen perpaduan mesti melihat kepada dasar politik dan ekonomi, selain bahasa dan pendidikan.
"Dasar politik Malaysia masih lagi mengamalkan dasar pecah dan perintah, justeru perpaduan hanya boleh dicapai dengan mengubah dasar yang sedia ada.
"Sama juga halnya dengan ekonomi, berlaku pengagihan ekonomi berpusat kepada segelintir orang dan kroni,dan ianya tidak diagihkan secara adil kepada rakyat bawahan, justeru meniup semangat perpaduan tanpa perubahan hanyalah retorik semata-mata," katanya.
Keadilan sosial
Menurutnya, selagi tidak ada usaha ke arah menjamin keadilan sosial, perubahan istilah sekerap manapun, keadaan akan kekal sebagaimana sedia ada, dan jelas selepas 50 tahun Malaysia merdeka, agenda perpaduan kita boleh dilihat telah gagal," katanya.
Sementara itu, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid juga setuju dengan pandangan tersebut kerana menurutnya penggunaan bahasa Malaysia tidak menjadikan rakyat berbilang kaum di negara ini akan lebih bersatu padu kerana faktor perpaduan bukan ditentukan oleh bahasa semata-mata
Beliau hairan mengapa kerajaan secara tiba-tiba menukar istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sedangkan selama ini tidak ada pihak yang membantah penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat di negara ini.
"Saya tidak fikir ada orang yang tidak selesa menggunakan bahasa Melayu, walaupun orang bukan Melayu lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka.
"Pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sebenarnya tidak membawa erti kerana kedua-dua bahasa tersebut adalah sama. Bagi saya ia menukarkan kulit sahaja," katanya.
Bagaimanapun, Pengarah Alam Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Shamsul Amree Baharuddin, menyokong tindakan menukar nama tersebut kerana penggunaan bahasa Malaysia merupakan simbolik untuk perpaduan kaum di negara ini.
Proses penerimaan
Katanya, ia serupa dengan bahasa Mandarin yang dicipta untuk menjadi bahasa perpaduan di negara China.
"Untungnya bahasa Malaysia merupakan bahasa yang telah sedia ada, jadi proses penerimaan tidak menimbulkan sebarang masalah lagi," katanya.
Beliau berkata, mereka yang membantah penukaran nama adalah pihak yang mahu mempertahankan kemurnian bahasa Melayu tetapi bahasa mengalami perubahan mengikut zaman.
Shamsul Amree berkata, orang Melayu patut merasa bangga kerana bahasa mereka menjadi bahasa negara sedangkan jumlah penuturnya di negara ini kira-kira 12 juta sahaja.
Beliau juga menjelaskan penukaran nama dari bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia tidak perlu dirujuk kepada pakar bahasa atau orang awam kerana mereka sudah maklum ia hanya penukaran nama sahaja.

